Pastikan Pelajar 12-17 Tahun Divaksin Sebelum Dibenar ke Sekolah – Rina

rina.jpg
Kongsi Bersama

PARIT: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun diberikan suntikan vaksin Covid-19 sebelum atau apabila sekolah dibuka semula.

Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya juga meminta kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan pelajar terlibat diberi vaksin terlebih dahulu.

“Kalau kita lihat kanak-kanak umur 12 hingga 17 tahun mereka yang bersekolah, ia sudah pasti ia merupakan kerjasama bersama dengan KPM.

“Kalau mereka nak buka sekolah, kita harap, kanak-kanak ini dapat diberikan vaksin sebelum atau apabila sekolah dibuka nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Projek Rintis Penyumberan Luar (ASD) di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar di sini, hari ini.

Menurut Rina, sebelum ini, pihaknya pernah menggesa kerajaan agar vaksin diberikan kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun kerana mereka tidak terkecuali daripada dijangkiti Covid-19.

Katanya, perkara itu belum dilaksanakan lagi, tetapi, akan dibuat secara berperingkat setelah mendapat nasihat daripada pakar.

“Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memutuskan untuk kanak-kanak ini dan kita harapkan apabila vaksin kepada warga dewasa selesai, mungkin mereka sudah boleh mendapatkan vaksin terutamanya yang berumur 12 hingga 17 tahun,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai pihak menggesa KPM agar mempertimbangkan untuk membuka sesi persekolahan secara berperingkat bermula bulan hadapan ekoran kes harian Covid-19 masih lagi tinggi.

Mereka menyuarakan kembimbangan mengenai keselamatan pelajar memandangkan golongan berkenaan tidak menerima vaksin disamping kemungkinan kewujudan kluster sekolah. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top