Pastikan Bantuan Untuk Mangsa Banjir Di Sabah Diagih Secara Adil – Pemuda UPKO

Pemuda-UPKO.jpg
Kongsi Bersama

Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang berkata, kerajaan GRS harus memastikan bantuan yang diumum untuk mangsa banjir di negeri ini segera diagihkan kepada mereka yang benar-benar terkesan.

Beliau juga berharap pengagihan bantuan tunai untuk mangsa banjir yang terjejas berjumlah RM10,000 diberikan kepada semua tanpa mengira fahaman politik.

“Saya berharap bantuan itu segera diagihkan kepada mereka yang benar-benar terkesan. Jangan terlepas pandang kerana mereka mengalami banyak kerugian dari segi kerosakan harta benda dan tanam-tanaman.

“Kita juga mahu agar kementerian berkenaan membantu para petani dan penternak yang mengalami kemusnahan teruk akibat banjir.

“Begitu juga dengan jalan perhubungan, saya berharap kerajaan segera membaiki jalan-jalan perhubungan yang rosak,” katanya dipetik Nabalu News.

Ketika melawat beberapa kampung yang terjejas banjir di kawasan Telupid, Felix bersama beberapa ahli UPKO Beluran menyalurkan sedikit bantuan kepada beberapa mangsa yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Bauto, Kampung Maau dan Kampung Kiabau.

“Banjir yang melanda kawasan Telupid, Labuk dan Sugut kali ini sangat terk sehingga meragut nyawa. Beberapa jalan raya, jambatan dan cerun turut terjejas.

“Ramai penduduk di kawasan ini yang mengalami kerosakan harta benda. Tanam-tanaman dan ternakan yang mereka usahakan sekian lama dimusnahkan oleh bencana banjir.

“Kita amat berharap agar pihak kerajaan dan para pemimpin sekitar kawasan ini akan berusaha sebaik mungkin untuk mempercepatkan bantuan diperingkat akar umbi. Mereka amat memerlukan perhatian, sokongan dan pertolongan ketika ini,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top