KOTA KINABALU: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Sabah menjadi penanda aras penubuhan PAS Kawasan dan sebahagian besar kawasan ditubuhkan mata rantai awalnya adalah PASTI bukan PAS kawasan.
Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Aliakbar Gulasan berkata, sebagai tanda awal misi dakwah, apabila wujud PASTI akan ada jawatankuasa PASTI yang ditubuhkan PAS kawasan tersebut.
“Ia menjadi imej penanda aras kepada penubuhan parti kawasan. Ia sesuatu sumbangan yang cukup besar di peringkat kita.
Menurutnya, satu himpunan bagi mendidik negeri Sabah menggabungkan semua guru sama ada PASTI, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI).
“Kalau boleh kita anjurkan satu perhimpunan sama ada konvensyen supaya boleh dilihat bahawa kita sebenarnya ada kekuatan bukan setakat himpunan tetapi kita sedang bekerja di lapangan dengan jumlah yang agak besar,” katanya.
Tambah beliau, ahli PAS perlu mewujudkan wehdatul fikr dan wehdatul amal supaya boleh bergerak senada dalam konteks di Sabah yang jumlahnya masih kecil. Ia gabungan yang menjadi tunjang kepada penggerak dan kekuatan jemaah pada masa depan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Sabah di Ballroom Wisma Wanita, di sini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol; Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Hanif Jamaluddin dan Ketua Majlis Guru PASTI Malaysia, Muallimah Saadiah Abu Bakar.
Tidak ketinggalan, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu, ahli jawatankuasa PASTI dan Majlis Guru PASTI Malaysia, serta seramai 340 guru PASTI Negeri Sabah dari pelbagai kawasan dan cawangan yang hadir.
Penyampaian anugerah turut disampaikan iaitu Anugerah Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAK) yang disandang oleh Muallimah Zahidah Suhaimi (Sipitang), Sajra Haseng (Tawau), Nurul Syakinah Syaning (Lahad Datu), Hasnawati Baharuddin (Tawau), Siti Rahayu Abdurahman (Kalabakan) dan Buku Log Terbaik oleh Muallimah Hajirah Roselan (Pitas).
Selain itu, penyampaian Anugerah Tokoh Guru disandang oleh Muallimah Ajmawati Amirullah (Sandakan), Guru Paling Lama Berkhidmat, Muallimah Majidah Muhammadeng (Sandakan) dan Guru Harapan, Muallimah Aisyah Ramadha Ismail (Putatan).
Sementara Anugerah Guru Khidmat Setia dianugerahkan kepada Muallimah Siti Sopiah Rafiei (Sandakan), Siti Rahmah Bandu (Tawau), Arbainah Abd Rahman (Tawau), Haryati@Aisyah Latomba (Tawau), Norlayla Abd Rahim (Tawau) dan Mayang Cambu (Tawau).
Selain itu, Anugerah PASTI Kawasan Terbaik diberikan kepada PASTI Lahad Datu serta Pengarah PASTI Sabah disandang oleh Mursidi Amat dan Kasminah Sulaiman. – HARAKAHDAILY