Pasar Tamu Dayak Seremban bantu jana pendapatan wanita Sabah, Sarawak

PasarTamuDayak.jpg

Suasana di sekitar Pasar Tamu Dayak Seremban, Jalan Seri Rahang yang dikunjungi pelanggan, baru-baru ini. - Foto Bernama

Kongsi Bersama

SEREMBAN: Pasar Tamu Dayak Seremban menjadi inisiatif bagi memperkasakan wanita dari Sabah dan Sarawak yang kini menetap di Negeri Sembilan dengan mewujudkan peluang perniagaan pelbagai produk tempatan dari dua negeri berkenaan.

Usaha oleh Pertubuhan Raban Indu Borneo Seremban (PRAISE) itu turut mengeratkan hubungan dan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak yang telah lebih 20 tahun menetap di negeri Adat Perpatih ini.

Presiden PRAISE Padila Jiahong berkata persatuan itu ditubuhkan pada 20 Sept 2020 bertujuan memupuk komuniti wanita yang berdaya saing dan mampu menambah pendapatan ekonomi keluarga menerusi pembukaan Pasar Tamu Dayak di Jalan Seri Rahang bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari, setiap Ahad.

“PRAISE berperanan sebagai persatuan yang menjaga kebajikan wanita Borneo di sini. Pada musim pandemik COVID-19 sehingga kini, persatuan membantu lebih 130 isi rumah dari Borneo di negeri ini melalui sumbangan diberikan tanpa mengira agama, budaya dan etnik kepada wanita yang memerlukan.

“Pelbagai aktiviti dan program kami adakan untuk mendorong wanita memupuk minat menjana pendapatan sampingan untuk isi rumah, antaranya adalah berniaga di pasar ini,” katanya kepada Bernama.

Padila berkata Pasar Tamu Dayak dibuka hasil idea ahli yang juga pengusaha makanan dari rumah ke rumah, yang menyuarakan pendapat untuk membuka Pasar Borneo di negeri ini kerana permintaan masyarakat tempatan dan negeri berhampiran sangat menggalakkan terhadap produk Sabah dan Sarawak.

Gerai Mee Kolok antara gerai jualan yang sering dikunjungi pelanggan di Pasar Tamu Dayak Seremban di Jalan Seri Rahang, baru-baru ini. – Foto Bernama

Susulan itu, beliau berjumpa dengan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang memberikan pertubuhan itu tapak berniaga yang memanfaatkan 17 peniaga di sini.

“Objektif utama adalah memperkenalkan budaya makanan dan kraf tangan dari Borneo kepada masyarakat di sini serta memberi peluang kepada masyarakat Borneo di Negeri Sembilan melepas rindu dengan juadah dan produk dari kampung halaman tercinta,” katanya menambah harga yang ditawarkan sangat berpatutan.

Antara produk makanan dijual ialah mi kolok, penyaram, laksa Sarawak, Linopot (Sabah), tuhau, pekasam, salai ikan, pansuh ayam, pes laksa, terubuk ikan masin, ulat sagu, tepung sago, lada Sarawak serta barangan kraf tangan dari Borneo seperti bakul anyaman, rantai manik, baju bertema Borneo dan lain-lain.

Katanya pengunjung pasar itu bukan hanya dalam kalangan mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak sahaja malah mendapat sambutan daripada penduduk Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Majoriti peniaga di sini terdiri daripada suri rumah, ada juga yang bekerja sepenuh masa namun menggunakan masa cuti pada Ahad untuk berniaga bagi menambahkan pendapatan,” katanya.

Menjelang sambutan Hari Malaysia 16 Sept ini, Padila yang telah menetap selama 23 tahun di negeri ini, bersyukur kehadiran warga Borneo di negeri ini disambut baik oleh masyarakat tempatan selain dapat mempelajari keunikan budaya masyarakat Semenanjung.

Usaha terpuji PRAISE itu turut membantu Helni Bisik, 40, menambah pendapatannya sebagai suri rumah kepada tiga cahaya mata dengan menjual pelbagai jenis sambal iaitu terung pipit, batang kantan, kedondong, buah cermai, buah liposu, serunding tuhau dan kantan, serunding sayur pucuk ubi kayu dan ikan bilis segar di gerai miliknya Ropuhan D’Helni.

Bekas jururawat swasta itu yang menetap di Temiang setelah berkahwin dengan suaminya K.Mathivarman, 48, menyifatkan peluang berniaga di Pasar Tamu Dayak itu mengubat kerinduannya terhadap keluarga serta saudara-mara di Sabah.

“Kami di sini bukan setakat berniaga, kami juga meraikan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dengan memakai pakaian tradisional Sabah dan Sarawak serta menari poco-poco, suasana sangat meriah,” katanya menambah berkahwin dengan rakyat tempatan berbangsa India, dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan kedua-dua belah pihak dengan mempelajari pelbagai cara hidup dan kebudayaan.

Bagi Mazlina Marzuki, 41, dia mengambil peluang berniaga di pasar tersebut menjual bakul anyaman hasil buatan kraf tangan ibu mentuanya Bidah Samad, 65, yang berasal dari Miri, Sarawak yang turut dibantu suaminya, Syazwan Abdullah, 43.

Katanya pasar tersebut unik kerana ia bukan sahaja membuka peluang berniaga tetapi dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat Borneo. – BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top