Pasar Raya, Restoren Di Sabah Diberi ‘Grace Period’ Sebulan Sebelum SOP Baharu Dilaksana Sepenuhnya

dine-in.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan memberikan tempoh selama sebulan kepada restoran dan pasaraya di negeri untuk memenuhi keperluan seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang mengumumkan perkara ini berkata semua telah maklum bahawa Kerajaan telah pun menyediakan SOP bagi pelbagai aktiviti yang dibenarkan dalam Fasa 2 PPN.

Katanya, ini termasuk pengoperasian restoran dan pasaraya di mana SOP menetapkan bahawa operator, pekerja dan pelanggan mestilah mereka yang sudah melengkapkan dua dos vaksin.

“Kita juga sedia maklum bahawa ada di antara mereka dalam sektor ini belum divaksin atau belum lengkap divaksin.

“Adalah dinasihatkan agar mereka yang belum divaksin segera mendapatkan vaksin di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdekat,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Katanya, bagi pekerja-pekerja pasaraya, restoran dan hotel disekitar Kota Kinabalu, mereka boleh datang ke PPV Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) untuk tujuan vaksinasi.

“Penguatkuasaan SOP bagi restoran (dine-in) dan pasaraya pada peringkat awal adalah lebih berbentuk pendidikan dan peringatan, bukan untuk mengenakan penalti.

“Kita berharap semua yang terlibat dalam sektor ini akan memperolehi vaksin lengkap dalam masa satu bulan.

“Penguatkuasaan kepada pematuhan SOP akan dilaksanakan sepenuhnya selepas itu,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.

Dengan mengambilkira kedudukan pandemik Covid-19 semasa di Sabah yang mencatatkan kes yang tinggi setiap hari katanya, adalah perlu bagi kita untuk mengambil apa jua tindakan untuk mengurangkan penularan.

Jelasnya, langkah untuk menguatkuasakan SOP baharu di restoran dan pasaraya adalah bertujuan mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat dalam ruang niaga.

“Ini akan memberi manfaat dan jagaan kesihatan kepada pekerja dan juga pelanggan.

“Langkah ini akan mengurangkan risiko penularan virus Covid-19 semasa berada di restoran dan pasaraya,” katanya. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top