Pasangan Jarak Jauh Dilarang Keluar, Masuk Sabah

PKPD.jpg

PAPAR 09 OKTOBER 2020. Anggota polis menjalankan sekatan jalan raya di Jalan Papar - Penampang bagi membendung penularan Covid-19 pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). KHIS/MOHD ADAM ARININ

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah tidak membenarkan pasangan jarak jauh untuk merentas keluar atau masuk ke negeri itu sepanjang fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan bermula semalam.

Larangan itu adalah antara prosedur operasi standard (SOP) pergerakan individu yang ditetapkan kerajaan negeri dalam fasa kedua PPN bagi Sabah sejajar usaha mengawal kemasukan orang awam ke negeri itu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata berikutan keputusan itu, sebarang permohonan untuk merentas masuk atau keluar dari negeri itu untuk pasangan jarak jauh tidak akan dipertimbangkan.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai SOP fasa kedua PPN bagi Sabah, malam tadi.

Masidi berkata, hanya pasangan jarak jauh dalam negeri yang bekerja di daerah berasingan sahaja boleh merentas daerah dengan syarat mendapat kebenaran polis.

SOP itu berbeza dengan negeri lain yang mana pasangan jarak jauh dibenarkan merentas negeri dan daerah dalam fasa kedua PPN seperti dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kerajaan negeri turut mengekalkan larangan keluar masuk orang awam di antara Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sepanjang fasa kedua PPN bagi negeri ini.

Bagaimanapun, katanya pergerakan untuk perkhidmatan dan barangan perlu, selain keselamatan dan kesihatan yang mendapat kebenaran khas serta pengangkutan feri berkaitan perkhidmatan dan barangan perlu masih dibenarkan.

Bagi pergerakan individu dari Sabah ke Sarawak pula, katanya kerajaan negeri memutuskan individu yang merentas ke negeri itu tidak perlu menjalani ujian RT-PCR sebelum berlepas, namun pemohon tertakluk kepada syarat kemasukan ditetapkan kerajaan Sarawak.

“Individu dari Sabah ke Semenanjung juga tidak perlu menjalani ujian RT-PCR sebelum berlepas dari Sabah berdasarkan ketetapan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata bagi pergerakan individu yang mahu merentas negeri ke Sabah, kerajaan negeri mewajibkan setiap individu mendapat kebenaran polis untuk merentas negeri, selain negatif ujian saringan COVID-19 (RT-PCR) dalam tempoh lima hari sebelum perjalanan.

Katanya, semua individu juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari setibanya di Sabah, manakala pusat kuarantin ditetapkan Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah.

“Pengecualian kuarantin adalah bukan salah satu pilihan. Pengecualian kuarantin dipertimbangkan berdasarkan penilaian risiko oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata kerajaan negeri juga masih mengekalkan larangan merentas daerah yang dikuatkuasakan di seluruh negeri sebelum ini menerusi pelaksanaan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk daerah.

Beliau turut menekankan, larangan keluar dari tempat kediaman atau tempat tinggal juga masih dikuatkuasakan sepanjang fasa kedua PPN bagi Sabah kecuali dua wakil isi rumah keluar mendapatkan bekalan makanan, ubat atau keperluan asas.

Katanya, bagi tujuan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan, maksimum tiga orang termasuk pesakit dibenarkan keluar.

“Kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan berada di premis perniagaan atau tempat kemudahan awam kecuali keluar untuk tujuan perubatan, pendidikan, kecemasan dan senaman, manakala individu berumur lebih 70 tahun adalah tidak digalakkan,” katanya. – BH Online


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top