Pasangan Ditahan Kes Tipu Jual Beli Kucing RM11,000 Di Facebook

tipu-kucing.jpg

Pasangan yang didakwa terlibat dalam penipuan jual beli kucing.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Polis Sabah melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Sabah menahan seorang wanita tempatan dan tunangnya yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan jual beli kucing melalui media sosial Facebook melibatkan kerugian RM11,000.

JSJK Kontinjen Sabah dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan suspek ditahan pada Isnin lepas (18 April) mengakui pemilik akaun Facebook terlibat dengan kes itu dan telah memberikan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya kepada seorang lelaki yang juga tunangnya.

“Tangkapan susulan terhadap lelaki tersebut dilakukan dan hasil risikan mendapati lelaki berkenaan merupakan orang tengah kepada sindiket penipuan menggunakan akaun bank milik tunangnya untuk menerima wang kegiatan penipuan sebelum dipindahkan ke beberapa akaun luar negara,” menurut kenyataan itu.

Suspek lelaki itu turut mengakui bekerjasama dengan sindiket luar negara untuk menjalankan aktiviti jenayah penipuan dengan menjadi perantara pindahan wang hasil daripada penipuan.

Orang awam diingatkan supaya tidak berkongsi kad ATM, maklumat perbankan dan lain-lain maklumat peribadi yang membolehkan mereka terlibat dengan jenayah penipuan secara tidak langsung.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

— BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top