PETALING JAYA: PAS menunjukkan jiwa besarnya dengan memberi laluan kepada rakan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan matlamat pertandingan 2 penjuru dapat direalisasikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden PAS Datuk Sero Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat demi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik pada masa akan datang.
“PAS menghormati sikap rakan-rakan di Sabah yang berhasrat untuk bertanding di keseluruhan 73 kerusi dalam PRN Sabah, setelah usaha rundingan dimuktamadkan.
“Sokongan jentera dan ahli PAS dalam PRN Sabah tetap akan digerakkan mengikut keperluan di peringkat setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, keutamaan PAS ketika ini adalah persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat, selain komitmen mengukuhkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN.
Ia bertentangan dengan hasrat parti itu sebelum ini yang mahu bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.