PETALING JAYA: PAS hari ini menegaskan ia menolak sebarang usaha parti sekutunya menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan dalam membentuk penjajaran baharu politik negara.
Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu juga menolak usaha mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang sedia terjalin.
Takiyuddin mengesahkan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden PPBM.
Mesyuarat itu diadakan setelah PPBM mengesahkan menerima notis Umno bahawa tiada kerjasama pada pilihan raya umum ke 15 (PRU-15) dan penglibatannya dalam kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin hanya sehingga Parlimen dibubarkan.
Takiyuddin berkata Hadi turut mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan Umno, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Beliau mengulangi komitmen PAS untuk “memperkasa Muafakat Nasional (MN), sekali gus mempertahan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat.”
Umno menjadi sekutu PAS menerusi MN, manakala kerjasama PAS-PPBM terjalin menerusi PN.
“(PAS) menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin, kata Takiyuddin.
Beliau berkata PAS juga bertegas “menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan atau sekutunya.”
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, sebelum ini mendakwa ada dalam kalangan pemimpin Umno sedang mengatur langkah untuk bekerjasama dengan DAP pada PRU-15.
Dakwaan itu disanggah keras oleh pucuk pimpinan Umno.
Takiyuddin yakin pertikaian antara PPBM dan Umno boleh diatasi oleh pimpinan parti “atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.”
Beliau turut mengulangi komitmen PAS untuk memantapkan hubungan dan kerjasama antara Umno, PPBM, dan PAS bersama rakan sekutu lain.
Kerjasama itu, menurut beliau, “demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu lagi sejarah hitam lampau berulang kembali.” – FMT