Oleh: Hadjabal Abu Saini
SANDAKAN: PAS di daerah ini telah menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi membantu kerajaan menggiatkan program vaksinasi COVID-19 yang melibatkan orang awam.
Mengulas komitmen berkenaan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid yakin pihaknya dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia mendaftarkan lebih ramai penduduk yang layak menyertai program ini.
Beliau menyatakan demikian semalam di Wisma Persekutuan, Batu 7 dekat sini ketika membuat kunjungan hormat ke Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan bagi menyelaraskan tindakan tersebut.
“PAS juga menubuhkan jawatankuasa yang sama di daerah lain di seluruh Sabah bagi menjayakan usaha berkenaan memandangkan penglibatan rakyat di negeri ini masih sedikit,” ujar Sahar.
“Di daerah ini, tiga kawasan bergabung iaitu PAS Sandakan, PAS Batu Sapi dan PAS Libaran yang melibatkan 3 parlimen,” jelasnya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sandakan.
Pegawai Penerangan Pendidikan Kesihatan Sandakan, Joumil Ikim ketika mengulas perkara berkenaan menyatakan penghargaan dan menyambut baik bantuan yang dihulurkan oleh parti Islam itu kepada pihaknya.
Beliau yang mewakili Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Hj Johari Awang Besar dalam pertemuan itu mengharapkan lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan yang sama agar daerah ini dapat mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun.
“Saya mengambil kesempatan menyeru orang ramai untuk melibatkan diri dalam program ini memandangkan data menunjukkan hanya kira-kira 40,000 yang sudah menyertainya daripada populasi Sandakan yang mencecah 500,000 orang,” rayu Joumil.
Terdahulu, klinik-klinik kesihatan luar bandar di Sandakan seperti Klinik Kesihatan Sungai Manila Sandakan dan Klinik Kesihatan Ulu Dusun dalam Parlimen Libaran dilaporkan telah mula menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sejak minggu lalu.
Sementara itu, jumlah pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Sandakan juga ditingkatkan sehingga 800 penerima sehari yang juga melibatkan penambahan di PPV Dewan Libaran bagi menggiatkan lagi kempen ini.
Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain dan Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah, Masru Mustaqem.