Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, parti itu tidak perlu membuang masa bercakap soal masa depan dengan PAS tanpa terikat dengan PPBM.
Dalam catatan di Facebook selepas wawancara dengan Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khiruddin, Shahril berkata, keputusannya sudah jelas, iaitu PAS tidak akan meninggalkan Umno atau PPBM.
Katanya, PAS juga tidak mahu berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dan mahu pertandingan satu lawan satu menentang Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kemenangan.
“PAS tidak ada hasrat untuk tinggalkan Umno, malah amat menghargai persahabatan bersama Umno. Pada masa sama, PAS tidak ada hasrat untuk tinggalkan PPBM.
“Jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara Umno, PPBM dan PH di sesebuah kawasan, maka PAS dalam ‘impossible situation’ dan mungkin ambil pendekatan berkecuali.
“Yang untung adalah PH,” kata Shahril.
“PAS minta Umno hormat pendiriannya seperti PAS juga akan hormat pendirian Umno. Kawan sudah bercakap terbuka. Kita boleh pilih untuk terkilan, marah, terasa.
“Boleh pilih untuk persoal keikhlasan pasca pembentukan kerajaan PN. Boleh pilih untuk mengata. Boleh pilih untuk cakap ‘cukup hanya MN tak perlu PN’, walhal rakan kita dalam MN telah tegaskan pendiriannya mahu bertiga, bukan berdua.
“Atau kita boleh pilih untuk tenang, hormat pendirian sahabat kita tanpa kompromi aspirasi kita sebagai parti kebangsaan terbesar Malaysia.
“Umno parti yang penuh bijaksana dan responsif kepada dinamika yang berubah. Saya pilih yang ini,” katanya, sambil menyuarakan keyakinan bahawa PAS juga akan hormat bahawa keputusan Umno adalah hak mutlaknya, tanpa paksaan sesiapa.
Beliau berkata, Umno perlu membuat pilihan sambil menegaskan bahawa tiada keputusan tanpa risiko.
“PAS sudah jelas dengan pendiriannya. Moga keputusan Umno kelak adalah yang terbaik bukan hanya untuk kelangsungan parti ini, tetapi juga yang terbaik untuk agama, bangsa, tanahair,” katanya.
Sebelum ini, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka yang mendakwa tidak perlu ada parti Melayu dominan “gagal memahami hakikat politik nasional”, tidak sensitif, dan malas berusaha untuk mengangkat orang Melayu.
Dalam masa sama beliau berkata, kekuatan Umno dan PAS sudah mencukupi untuk menjadi parti dominan.