KOTA KINABALU: Pesuruhjaya PAS Sabah yang baharu, Dr Aliakbar Gulasan berkata PAS Sabah akan terus membawa pendekatan politik damai, matang dan sejahtera selari dengan budaya serta kepelbagaian masyarakat di wilayah ini.
Bagi tujuan itu, kata beliau, PAS Sabah akan terus membina hubungan baik dengan semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan juga rakyat di negeri ini.
“Sebagai sebuah parti politik yang sudah lama bertapak di Sabah, PAS Sabah akan terus membina hubungan baik dengan semua pihak sama ada parti politik, NGO, orang perseorangan dan rakyat biasa.
“Kami akan terus membawa pendekatan politik damai, matang dan sejahtera selari dengan budaya dan kepelbagaian masyarakat di Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Aliakbar juga turut memberi jaminan bahawa PAS Sabah akan terus aktif menjalankan pelbagai program di negeri ini.
“Program tersebut termasuk kebajikan, pembangunan pendidikan, menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama, memantapkan pelbagai kerja sosial termasuk ketika bencana alam dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan politik yang lain,” ujarnya.
ADUN (Lantikan) itu juga berterima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat yang memberikannya kepercayaan untuk memimpin parti itu di Sabah.
“Saya bersama barisan kepimpinan baharu yang akan dilantik kemudian akan berusaha sebaiknya membawa PAS Sabah menjadi salah sebuah parti politik pilihan rakyat Sabah,” katanya.