PAS Tawau Teruskan Misi Bantuan Mangsa Kebakaran

Pas-tawau.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Tawau meneruskan misi bantuan bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, di sini, pagi semalam.

Bantuan diteruskan dengan menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM200 dan bakul makanan kepada 608 ketua isi rumah (KIR) seperti dalam senarai Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Tawau.

Dipertua PAS Kawasan Tawau, Mohamad Husain berkata sumbangan yang disalurkan itu adalah hasil kutipan daripada orang awam di seluruh Malaysia.

Katanya, PAS Tawau telah menjalankan kutipan sumbangan sejak berlakunya kebakaran di kampung ini bagi membantu semua mangsa.

“Melalui cawangan-cawangan PAS Tawau bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga sudah beberapa kali ke lokasi kebakaran untuk membantu dan menyantuni mereka.

“Malah, sejak hari pertama insiden itu berlaku, PAS Tawau sudah turun padang dengan menyediakan makanan, barang keperluan, pakaian serta sokongan moral,” katanya ketika ditemui, di sini.

Jawatankuasa PAS Tawau bersama pegawai JKM Tawau dalam majlis penyerahan bantuan tersebut.

Beliau berkata, PAS Tawau ketika ini masih menerima sumbangan daripada orang awam dan ia akan disalurkan kepada mangsa mengikut peringkat.

“Kami akan sentiasa turun padang ke penempatan sementara mangsa untuk menyampaikan bantuan mengikut keperluan semasa mereka,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sepanjang bulan Ramadan ini, PAS Tawau akan menyediakan makanan kepada mangsa kebakaran untuk mereka berbuka puasa.

“Sumbangan yang dilakukan oleh PAS Tawau bersifat berterusan mengikut kemampuan selagi mendapat sokongan dan bantuan daripada semua penyumbang. – Utusan Borneo

 

Kredit foto: FB Pas Kawasan Tawau


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top