PAS Tawau sedia bertanding PRN17 Sabah

Nizam.jpg

Mohamad (dua kiri) beramah mesra dengan Nizam (tiga kiri) dalam majlis berkenaan.

Kongsi Bersama

TAWAU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Tawau bersedia dan sudah mengemukakan permohonan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.

Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau, Mohamad Husain berkata, jentera PAS sudah lama bersedia sekiranya pucuk pimpinan memberikan kebenaran untuk bertanding.

“Kita sudah mengemukakan permohonan untuk bertanding dan ia terpulang kepada pucuk pimpinan sekiranya tiada sebarang rundingan dengan parti lain.

“Kita bukan baharu mahu bertanding kerana sejak tahun 1990 lagi PAS Tawau sudah meletakkan calon untuk Parlimen Tawau pada Pilihan Raya Umum (PRU) di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya PAS Kawasan Tawau, di sini semalam.

Katanya, setiap parti yang ditubuhkan sudah pasti berhasrat mahu bertanding di kawasan-kawasan yang dirasakan boleh menang.

“Dalam dunia politik, kalau kita tidak bertanding, orang akan cakap kita sudah ‘tutup kedai’ dan tidak relevan lagi.

“Bagaimanapun, PAS Tawau juga menghormati orang lain terutamanya sahabat dalam politik, sebab itu perlukan rundingan dan restu pucuk pimpinan,” katanya.

Menurutnya, PAS Tawau dan Kalabakan adalah antara yang berpotensi untuk meletakkan calon kerana prestasinya cukup cemerlang selama ini.

“Kita akan meletakkan calon yang sesuai kerana PAS bukan parti bidang terjun dan di Sabah kita sudah bertapak lama, malah mempunyai pengundi setia,” katanya.

Mengulas mengenai majlis ini, Mohamad berkata, sambutan rumah terbuka ini adalah program tahunan bagi meraikan perayaan Hari Raya bersama warga Tawau.

Katanya, ia adalah medan supaya semua warga di daerah ini tidak kira kaum, agama dan fahaman politik dapat mengenali parti PAS secara terus.

“Saya sangat gembira kehadiran majlis ini sangat menggalakkan hampir semua jemputan khas dapat hadir termasuk wakil-wakil rakyat di Tawau dan Kalabakan.

“Kita mempunyai hubungan baik dengan semua pemimpin walaupun berlainan ideologi politik dan itulah sikap PAS yang sangat menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; ADUN Balung, Datuk Hamild Awang dan ADUN Kukusan, Rina Hj Jainal. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top