PAS Tawau Lulus Usul Bertanding Dalam PRN

PAS.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Mesyuarat Agung Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Tawau Kali Ke-32 sebulat suara meluluskan usul akan bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September nanti.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tawau Irwan Hamdan berkata, pendirian PAS tetap sama iaitu menjadikan Islam sebagai solusi kepada masyarakat dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“Kesediaan PAS Tawau untuk bertanding telah diterjemahkan dengan kesungguhan gerak kerja turun ke medan masyarakat khususnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB baru-baru ini.

“Jentera parti PAS sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN akan datang disamping kerja-kerja turun bertemu dengan para pengundi bagi memastikan kemenangan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), katanya semasa membentangkan usul dalam MAT PAS baru-baru ini.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau Mohamad Husain turut menyatakan kesediaan sama, namun akur sebarang keputusan pimpinan terutamanya melibatkan kerjasama dengan rakan permuafakatan.

Beliau berkata, PAS optimis dengan kepentingan memperkasakan agenda MN dan PN untuk membela rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Ahli PAS harus menjayakan setiap agenda itu agar rakyat melihat kekuatan dan kemampuan MN dan PN dalam membela rakyat dan membina negara.

“Setiap ahli dan jentera PAS dinasihatkan supaya sentiasa mentaati arahan dan keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan disamping menjadikan Al-Quran, sunnah dan Ijmak Ulamak sebagai panduan,” katanya.

Terdahulu, dalam MAT itu juga Dewan Pemuda, MAT PAS Tawau turut meluluskan dengan pindaan usul pendidikan siber daripada Dewan Muslimat.

Dalam sesi pembentangan laporan pula turut memberi fokus kepada pengaktifan Media baharu, isu pendidikan, kesenian dan gerak kerja pilihan raya. – Utusan Borneo/Foto: FB PAS Tawau

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top