PAS Tak Bubar Tiga Negeri Jika PRU15 Waktu Terdekat

tuan-ibrahim.jpg
Kongsi Bersama

SHAH ALAM: PAS membuat ketetapan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga negeri ditadbir parti itu sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat, kata timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ketetapan itu menyusul selepas negeri dikuasai Pakatan Harapan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang membuat keputusan sama, semalam.

“Sekiranya Parlimen dibubarkan pada waktu ini, tiga negeri bawah pimpinan PAS, Kelantan, Terengganu dan Kedah, tidak akan dibubarkan.

“Yang saya difahamkan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga tidak akan turut bubar,” katanya dalam ucapan semasa Majlis penyerahan Watikah Ketua Bahagian Perikatan Nasional (PN) di Shah Alam, malam tadi.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan semua ketua bahagian PN untuk bersiap sedia menghadapi dua pilihan raya iaitu DUN dan Parlimen.

“Bermakna Selangor ada dua kali peperangan yang tuan-tuan kena sedia bagi menawan. Pertama kita tawan Parlimen, yang kedua kita tawan negeri Selangor,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin ketika majlis penyerahan watikah itu, berkata tidak semestinya mereka yang ditugaskan menyelaras Parlimen akan menjadi calon di kawasan itu.

Menurutnya, pelantikan tersebut bagi memudahkan pengurusan jentera bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sambil menambah dalam PN semua pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing.

“Ia adalah keputusan parti, tapi soal rundingan parti kita akan selesaikan. Kemungkinan mungkin di situ ketuanya PAS dan calon kita akan tentukan semasa peringkat rundingan kerusi,” katanya.

Muhyiddin turut memaklumkan PN sedang merangka manifesto bagi lima tahun ke depan dan akan dibentangkan ketika hampir PRU.

Katanya, manifesto itu merangkumi semua bidang, antaranya kesihatan, penyakit dan ekonomi.

“Ini antara kita akan beri pertimbangan selain banyak hal lain. Macam biasa PRU akan sediakan manifesto,” katanya.

Beliau turut berkata, “tiada rahsia antara kami” melibatkan parti bawah PN – merujuk pertemuan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Muafakat Nasional (MN).

“Tiada rahsia antara kami dalam PN. Kalau saya bertemu sesuatu, dapat keputusan sesuatu, saya akan kembali dan melaporkan secara terperinci apa yang sudah saya lakukan…

“Macam terkini ada berbincang dengan pihak yang di sana (Umno), Hadi maklumkan kepada saya. tak jadi apa-apa pun… semua kita bincang secara terbuka,” katanya. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top