PAS Setuju Kerjasama Rentas Parti, Anggap Pendekatan Politik Matang

takiyuddin.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Pas bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti yang dipelopori  Kerajaan Persekutuan sejak beberapa bulan lalu dan kini diteruskan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia adalah pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.

“Pas berpandangan langkah yang diambil adalah selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia yang mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan.

“Justeru, Pas menyambut baik sambutan pimpinan parti-parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan yang turut memberikan ruang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata, Pas yakin kerajaan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.

“Dengan ini diharapkan menjadi suatu permulaan baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat yang terdiri daripada masyarakat majmuk,” katanya. – UTUSAN ONLINE


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top