Oleh: Aizal Samsaruddin
SANDAKAN: PAS Sandakan yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Sahar Abdul Majid semalam telah meraikan guru dan jururawat sempena Hari Guru dan Hari Jururawat yang disambut seluruh negara baru-baru ini
Sahar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah telah mengunjungi beberapa buah sekolah termasuk yang di bawah pentadbiran PAS dan juga klinik di sekitar daerah ini.
Antaranya, Pejabat Pelajaran Daerah Sandakan, Klinik Pakar Hospital Sandakan, SRITI Imam Al-Bukhari, PASTI Saidina Abu Bakar, SAN Tanjung Papat, Sm St Mary’s, Sk. Sung Siew, Tadika Penyayang Dorcas, serta penyelia-penyelia jururawat.
Kehadiran mereka dengan membawa kek telah disambut baik dan mesra oleh para guru dan jururawat yang menerima kunjungan tersebut.
Menurut Sahar yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sandakan, kunjungan ini merupakan aktiviti tahunan PAS Sandakan sebagai menghargai jasa guru yang mendidik masyarakat dan juga jururawat yang sentiasa bersedia menjadi benteng hadapan negara.
Tambahnya, masyarakat seharusnya menghargai guru dan jururawat yang terkenal dengan pengorbanan mereka untuk mendidik dan merawat anak bangsa.
“Penghargaan seperti ini bukan sahaja perlu diadakan pada hari tertentu, tetapi juga pada setiap masa sebagai tanda masyarakat tidak melupakan dua kumpulan besar ini,” jelas Sahar.
Turut bersama dalam program ini ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Sabah, Isaac Wong dan AJK PAS Sandakan, Sulaiman Abdul Samat.