SANDAKAN: PAS Sandakan telah mengagihkan 1,000 pek ayam sempena Aidilfitri kepada golongan asnaf dan umat Islam di sekitar Sandakan kelmarin.
Yang Dipertuanya, Sahar Abdul Majid berkata program ini merupakan rutin tahunan PAS Sandakan dengan kerjasama NGO Untukmu Sandakan bertujuan mewujudkan keriangan sambutan hari raya dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan.
“Hari ini sempena hari raya Aidilfitri, atas semangat kasih sayang kami turun untuk mengedarkan sumbangan pek ayam dan biskut raya kepada warga Kampung disekitar parlimen Sandakan,” kata Sahar.
Menurut beliau, pelaksanaan program seumpama ini dapat memberikan nafas lega dan ukiran senyuman di wajah asnaf dalam meraikan hari raya Aidilfitri pada tahun ini.
“Semoga dengan sumbangan ini, golongan asnaf dapat meraikan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan di samping keluarga,” tambah Sahar.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini terutama sekali petugas PAS Sandakan dan juga para dermawan yang menyumbang bagi kelangsungan program ini. Semoga usaha kita semua diterima oleh Allah SWT,” ujar beliau.
Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain dan Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Sabah, Isaac Wong Kah Kiet.