Oleh FAIZAH ARBAIN
SANDAKAN: PAS Sabah menyambut baik dan menyokong penuh semua program kerajaan yang menyantuni rakyat, kata Ketua Dewan Muslimat negeri, Norsah Bongsu.
Beliau menyatakan demikian ketika turut bersama Skuad Sahabat Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyantuni dua keluarga yang memerlukan bantuan, semalam.
“Melalui program seumpama ini, PAS berpeluang melihat bagaimana peranan agensi kerajaan bertemu dengan masyarakat bagi mencapai objektif dan sasaran pertubuhan itu,” ujarnya.
Pengurus PERKESO Sandakan, Mariam Hassan yang mengetuai skuad itu pergi ke Kampung Lupak Meluas bagi menyerahkan kotak prihatin dan dua alat pemulihan kepada Mohd Shahrul Nizam Amir yang mengalami sakit saraf.
Seterusnya mereka menyerahkan cek pengurusan mayat dan kotak prihatin kepada waris Almarhum Salih Amran di Kampung Bakau.
Almarhum meninggalkan dua anak perempuan yang kini berada di bawah jagaan nenek kanak-kanak itu.
Menurut Norsah, PAS Sabah mengambil tanggungjawab untuk memastikan anak yatim yang baru seminggu kematian bapa itu akan mendapat pendidikan persekolahan yang terbaik.
“Pihak kami juga akan mengusahakan agar kedua-dua anak ini akan memperolehi dokumen pengenalan diri memandangkan arwah bapanya adalah warga tempatan.
“Semoga bantuan yang diberikan mampu memberikan semangat kepada ahli keluarga yang ditinggalkan agar sentiasa kuat dan cekal,” katanya.
Adun Dilantik yang juga Setiausaha PAS negeri, Dr Aliakbar Gulasan turut hadir yang menyampaikan sumbangan kewangan daripada PAS Sabah. Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya, Sahar Abdul Majid.