1.Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sabah menyokong penuh pendekatan YAB Ketua Menteri untuk melaksanakan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 bagi negeri Sabah yang telah dimulakan pada 29 Jun 2021 dan mengekalkan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 negeri Sabah.
2. PAS Sabah berpendapat tindakan YAB Ketua Menteri Sabah adalah wajar dan seharusnya mendapat sokongan dan dukungan daripada semua pihak tanpa mengira fahaman politik atas faktor seperti berikut;
i. Kes jangkitan COVID-19 harian bagi negeri Sabah berada di bawah angka yang rendah dan terkawal, atau dengan kata lain, Sabah bukan berada dalam kategori negeri yang merekodkan kadar jangkitan harian tinggi.
ii.Hasrat kerajaan negeri membenarkan sektor ekonomi dan perniagaan terpilih untuk beroperasi dengan mematuhi SOP PKP 3.0 adalah wajar sekali gus dapat mengurangkan tekanan dan bebanan kewangan yang dihadapi peniaga kerana tidak beroperasi untuk suatu tempoh yang lama akibat pelaksanaan PKP 3.0.
iii.SOP perlu lebih fleksibel khususnya kepada negeri yang mencapai kadar dan kes jangkitan yang rendah. Adalah adil dan bertepatan bahawasanya hasrat dan usaha YAB Ketua Menteri Sabah kerana beliau melihat rakyat negeri ini sudah memberikan yang terbaik dalam pematuhan SOP dan usaha rakyat memerangi COVID-19.
iv. Keputusan ini juga menandakan bahawa kerajaan negeri mempunyai hala tuju tersendiri dengan mengambil maklum rintihan rakyat di negeri ini khususnya membabitkan aspek kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat dalam mendepani pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP untuk suatu tempoh masa yang lama.
3. Pada masa yang sama kerajaan negeri mesti tegas dan komited supaya kelonggaran ini dipantau sepenuhnya dan jika rekod jangkitan harian meningkat melebihi angka 200, adalah menjadi kewajaran untuk kerajaan negeri pimpinan YAB Ketua Menteri mengambil tindakan pencegahan termasuk mengetatkan dan mengehadkan semula kebenaran operasi sektor ekonomi dan perniagaan.
4. PAS Sabah berharap usaha dan inisiatif YAB Ketua Menteri Sabah akan mendapat sokongan semua pihak. Sekarang adalah masa untuk kita saling bantu membantu dalam memastikan Sabah bebas sepenuhnya daripada pandemik COVID-19 sekali gus mencapai sasaran imuniti kelompok.
*YB DR. ALIAKBAR GULASAN*
Setiausaha PAS Sabah
30 Jun 2021