PAS, Sabah Relief santuni OKU penglihatan

PAS-OKU.jpg
Kongsi Bersama

SEMPORNA: Biro Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (BKKS) PAS Sabah bersama badan bukan kerajaan (NGO) Sabah Relief mengambil inisiatif menyantuni lapan golongan orang kelainan upaya (OKU), di sini kelmarin.

Majlis meraikan OKU itu turut memberi sumbangan bakul makanan bagi meringankan beban yang ditanggung golongan berkenaan.

Pengerusi BKKS PAS Semporna Razis Asparin berkata, semua penerima sumbangan itu adalah pelajar kelas pengajian agama dan al-Quran yang menggunakan kaedah kod braille.

Katanya, inisiatif itu bertujuan bagi membantu meringankan kos perbelanjaan dapur pelajar berkenaan yang juga dikategorikan sebagai golongan asnaf.

“BKKS PAS Sabah bersama Sabah Relief melihat pelajar ini sebagai yang istimewa kerana kekurangan yang dialami tidak menghalang mereka untuk menuntut ilmu agama.

“Saya sangat kagum dengan semangat semua pelajar ini dan berharap mereka meneruskan perjuangan untuk menuntut ilmu agama sampai bila-bila,” katanya ketika menyampaikan bantu bakul makanan, di sini.

Menurutnya, semua pihak perlu tampil membantu golongan itu terutamanya dalam menyediakan tempat pembelajaran yang lebih kondusif.

“Saya juga berharap lebih ramai lagi golongan OKU penglihatan yang akan tampil dalam menuntut ilmu agama menggunakan kaedah kod braille ini.

“Terima kasih juga kepada semua pendidik yang merupakan sukarelawan kerana sanggup datang untuk mengajar mereka dan semoga memperoleh ganjaran yang besar daripada Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, guru al-Quran, Aznah Tandek menzahirkan terima kasih kepada semua penyumbang kerana prihatin dengan pelajar OKU itu.

“Saya sangat berharap lebih banyak lagi NGO yang tampil menyalurkan sumbangan kepada mereka terutamanya dalam bentuk bakul makanan.

“Kami guru-guru akan sentiasa komited mengajar dan membantu pelajar OKU penglihatan supaya mereka lebih celik ilmu al-Quran,” katanya.

 

Sumber: HARAKAHDAILY

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top