PAS Sabah perlu relevan dalam masyarakat majmuk

Khairil-nizam.jpg

Ir. Khairil Nizam Khirudin (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kepelbagaian etnik dan budaya di negeri ini boleh dijadikan inspirasi bagi mewujudkan imej baharu dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) khususnya di Sabah.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ir. Khairil Nizam Khiruddin berkata, masyarakat majmuk di Sabah adalah satu keunikan dan perlu diambil perhatian oleh setiap pemimpin dan ahli PAS.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ir. Khairil Nizam Khiruddin berkata, masyarakat majmuk di Sabah adalah satu keunikan dan perlu diambil perhatian oleh setiap pemimpin dan ahli PAS.

Katanya, ia perlu dijadikan kekuatan kepada PAS Sabah supaya boleh menjadi teladan ke arah penyatuan ummah yang sebenar.

“PAS adalah parti arus perdana dan wajar membuka horizon penyokong yang lebih besar dengan pendekatan aman.

“Pendekatan PAS perlu sesuai dengan keadaan semasa dan kita sudah mengamalkan Muwajahah Silmiyyah iaitu kaedah pertentangan secara aman,” katanya dalam Konvensyen PAS Sabah di sini kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, PAS Sabah juga perlu fokus ke arah penyatuan dalam kalangan masyarakat bumiputera terlebih dahulu.

Katanya, formula penyatuan ummah yang sebenar bermula daripada teras, maka PAS Sabah juga perlu kembali kepada teras.

“Kepelbagaian etnik tidak boleh dijadikan halangan, sebaliknya perlu diambil sebagai cabaran bagi menjadikan PAS Sabah terus relevan di negeri ini.

“Pemimpin PAS di negeri ini diminta supaya memastikan pentadbiran tersusun, gerak kerja efektif, dan peningkatan ahli yang sistematik dalam usaha memperkasakan PAS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain berkata, setiap ahli PAS perlu menjadi ejen penerangan bagi memantapkan lagi parti di negeri ini.

Katanya, ia bagi membantu semua maklumat yang tepat dapat disampaikan supaya mudah difahami oleh masyarakat di Sabah.

Mustaman berkata, PAS Sabah juga perlu dilihat terbuka dan dekat dengan masyarakat pelbagai kaum negeri ini, sekaligus mengikis sentimen ‘PAS Fobia’.

“Saya harap ahli PAS Sabah terus fokus dengan gerak kerja kerana pilihanraya negeri dijangka akan berlaku pada bila-bila masa sahaja,” katanya. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top