KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah menggesa pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah yang dilantik dalam pelbagai jawatan lantikan politik kerajaan negeri segera melepaskan jawatan.
Pengarah Komunikasi AMANAH Sabah Salleh Jatil berkata, ia kerana PAS Sabah bukanlah komponen parti yang membentuk dan menyokong kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, di peringkat negeri, semua gabungan dan pakatan parti di Sabah telah sebulat suara memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan, namun PAS lebih memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
“Pelepasan jawatan kepimpinan PAS didalam pentadbiran negeri akan memudahkan aspirasi kerajaan negeri yang lebih bertunjangkan kerajaan perpaduan dibawah kepimpinan Perdana Menteri.
“Ini juga akan dapat merealisasikan dan memudahkan lagi urusan bagi membantu membela kebajikan rakyat khususnya di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Salleh berkata, PAS khususnya di negeri ini boleh menjadi sebagai imbang dan semak atas sebarang pelaksanaan serta pengurusan kerajaan negeri dengan berada diluar komponen pentadbiran kerajaan seperti PN di peringkat Persekutuan.
“Pemimpin PAS di negeri ini harus sedar dengan realiti kedudukan mereka di dalam komponen di negeri ini yang tidak sehaluan dengan kerajaan perpaduan,” katanya.-Utusan Borneo