TEMERLOH: Ucapan Dasar Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ‘Islam Adalah Penyelesaian’ bermakna Islam tidak mendiskriminasikan bangsa dan agama lain.
Perwakilan PAS Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, ucapan dasar yang dibahaskan sangat sesuai keadaannya di negeri Sabah yang berbilang kaum, bangsa dan agama.
Menurutnya, dalam konteks PAS Sabah yang boleh hidup dengan kepelbagaian bangsa, suku kaum, etnik, kepercayaan dan agama membuktikan Islam tidak mendiskriminasi atau menjatuhkan maruah dan kehormatan terhadap agama lain.
“Janganlah kita takut dengan perkataan Islam. Islam yang kami pegang bukanlah untuk masuk Islam, tetapi Islam ini akan menjadi benteng keseluruhan kehidupan supaya tidak ada kerosakan,” katanya pada Muktamar PAS kali ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini, semalam.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah Lantikan berkata, Islam tidak mengajar pengabaian, bahkan Islam mengajar hormat-menghormati di antara satu sama yang lain.
Terangnya, walaupun PAS Sabah jauh terpisah dengan Semenanjung Malaysia, PAS tidak pernah meminggirkan Sabah.
Sebagai contoh jelasnya, semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menyelesaikan masalah air akibat banjir dengan memberikan RM800 juta kepada Sabah.
Kerajaan Terengganu pula menurutnya, masuk melabur di dalam sektor kesihatan dengan membuka hospital pakar di Sabah.
Manakala Kelantan pula beritahunya, membuat hubungan dengan Yayasan Sabah yang membuktikan kehidupan politik kekuasaan dan penguasaan oleh PAS tidak pernah didiskriminasi.
“Maka sesuailah tema yang disebutkan ini di negeri Sabah kerana Islam sudahpun menyelesaikan banyak perkara sepenuhnya sekali gus penyelesaian sebenar untuk membantu hak-hak Sabah dalam konteks MA1963,” katanya.
Selain itu, beliau yang berdiri sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah mengajak seluruh pihak yang bernauang di bawah PAS membantu menjadikan Sabah menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Kami perlukan sokongan daripada semua bagi membantu merealisasikan iltizam PAS Sabah untuk melakar satu sejarah dalam memenangi PRN nanti.
“PAS Sabah juga ingin menang dengan pilihan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY