PAS Sabah gesa tangguh arahan roboh rumah penduduk

Sahar-Abdul-Majid.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: PAS Sabah menggesa pihak kerajaan menangguhkan arahan roboh dan mengosongkan tanah di Kampung Forest, Sandakan.

Setiausahanya, Sahar Abdul Majid berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan arahan melalui Jabatan Tanah Dan Ukur daerah kepada penduduk agar mengosongkan kawasan terbabit sejak awal bulan November.

“Perkembangan terkini menyaksikan rata-rata penduduk yang terlibat dengan arahan pengosongan tersebut mengadu tentang pelbagai masalah yang timbul susulun pendeknya tempoh arahan berkenaan iaitu 30 hari selain kekangan mencari tempat tinggal baharu dan faktor ekonomi.

“Sehubungan itu, PAS negeri menggesa pihak kerajaan menangguhkan rancangan tersebut ke suatu masa lain yang lebih sesuai dengan mengambil kira pelbagai kekangan yang ditanggung rakyat,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, semalam.

Sebagaimana maklum, ujarnya rata-rata penduduk yang diarah berpindah tergolong dalam kategori B40 malah sebahagiannya merupakan mangsa fenomena air pasang dan ombak besar yang membadai kampung berkenaan pada Disember 2022 lalu.

Katanya, kehidupan mereka yang serba daif sewajarnya dibela oleh kerajaan bukannya dikronikkan dengan arahan pengosongan seumpama itu.

Selain itu, ujarnya penangguhan itu amat penting kerana penduduk yang terlibat akan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh terdekat sekali gus akan menambah kesulitan mereka berhadapan dengan perayaan tersebut dalam keadaan serba kekurangan.

“PAS Negeri Sabah juga mengharapkan pihak kerajaan menyediakan alternatif terlebih dahulu kepada rakyat seperti menyediakan rumah kos rendah atau skim perumahan rakyat termiskin (PPRT) khusus untuk rakyat yang terlibat sebelum melaksanakan pengosongan berkenaan.

“Bagi mencari solusi terbaik, pihak kami bersedia untuk terlibat dengan sebarang jawatankuasa bertindak agar sama-sama dapat memutuskan pendekatan yang lebih efisien dan terbaik bagi menyelesaikan isu ini,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Sandakan.

Menurut Sahar, PAS juga mengharapkan agar isu itu dapat ditangani dengan lebih cermat dan sebaik mungkin dengan mengambil kira kepentingan rakyat khususnya mereka yang sewajarnya mendapat pembelaan daripada kerajaan. – HARAKAHDAILY

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top