PAS Masih Komited Dengan Muafakat Nasional

khairil-nizam-PAS.jpg
Kongsi Bersama

Ketua Pemuda PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin (gambar) menegaskan bahawa partinya masih komited untuk memperkukuhkan gabungan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama dengan UMNO.

Beliau berkata, PAS akan terus berusaha untuk mencari titik pertemuan bersama UMNO dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku antara parti tertua Melayu itu dengan Perikatan Nasional (PN).

“Kita jelas di peringkat PAS, dasarnya adalah kita memperkukuhkan MN dan kita pertahankan PN. Dan kalau dilihat daripada pernyataan (kenyataan bersama antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)) tersebut, itu merupakan pernyataan yang sangat neutral.

“Antaranya tidak ada penjajaran baru selePAS Pilihan Raya Umum (PRU) dan kita kekal apa yang ada sekarang tanpa Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu rancangan temu bual bersama Astro Awani pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh partinya bersama dengan Bersatu pada Rabu mengenai ketetapan untuk mengukuhkan (PN) bagi menghadapi PRU15.

Kenyataan tersebut antara lain menyatakan bahawa segala keputusan yang dicapai oleh kedua parti itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif dalam kalangan semua parti komponen.

Selain itu, selaku antara parti pengasas utama PN, Bersatu dan PAS juga bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti khusus bagi menghadapi PRU15 termasuk rundingan pengagihan kerusi

Khairil berkata, kebanyakan daripada keputusan dalam kenyataan tersebut merupakan perkara biasa dilakukan oleh mana-mana parti yang berada bersama dalam sesebuah gabungan politik termasuk MN.

“Mengenai keputusan untuk mewujudkan jawatankuasa teknikal dalam PN, sebenarnya dalam MN pun ada jawatankuasa seperti itu yang membincangkan mengenai strategi, manifesto dan isu yang boleh dibuat secara bersama.

“Jadi apa yang ada pada MN adalah apa yang ada pada PN. Dan sekarang ini oleh kerana PAS bersama PN, maka PAS juga perlu membincangkan bagaimana strategi untuk bersama dengan PN dan membawa suara tersebut dalam perbincangan bersama MN.

“Sebab kita kena ingat, UMNO juga adalah wakil BN di dalam mesyuarat (MN). Jadi dia ada empat parti komponen di dalam itu,” ujarnya.

Sementara itu, Khairil berkata, PAS tidak terkejut dengan ketetapan yang dibuat oleh UMNO dalam Perhimpunan Agung parti tersebut baru-baru yang memutuskan untuk tidak melakukan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Katanya, ini kerana keputusan yang dibuat oleh UMNO itu telah pun dibincangkan sebelum ini dalam mesyuarat MN yang diadakan secara berkala.

“Resolusi itu pun sebenarnya telah dibincangkan dengan lebih awal. Cuma ia disahkan oleh perwakilan dalam PAU dan kami tidak terkejut.

Jelas beliau, langkah yang diambil oleh UMNO dalam krisis tersebut adalah sesuatu yang boleh difahami.

“Kita pun tahu Barisan Nasional adalah perikatan politik. Maka pastinya UMNO akan menggunakan BN sebagai kenderaan kepada mereka untuk bergerak dalam PRU dan itu memang dalam skrip politiknya.

“MN tidak boleh menjadi kenderaan untuk menghadapi PRU kerana ia tidak berdaftar sebagai pertubuhan politik.

“Jadi yang paling penting adalah bagaimana untuk kita menstabilkan antara gabungan PN dan BN. Itu merupakan satu cabaran,” ujarnya. -SH

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top