PAS Labuan Gesa Sekat Penjualan Arak Di Kedai Runcit

arak.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: PAS Labuan meminta larangan penjualan arak di kedai runcit di pulau berkenaan dilaksanakan sebagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyekat penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina.

Yang Dipertuanya, Hamir Zahari berkata, langkah itu juga adalah sebagai salah satu usaha dalam mengekang peningkatan kemalangan disebabkan pemandu mabuk.

“PAS juga menyedari akan hakikat bahawa pengambilan minuman keras ini banyak mendatangkan keburukan yang boleh mengakibatkan bahaya kepada diri dan masyarakat sekeliling,” katanya di Facebook.

Hamir yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan berkata, sekatan itu juga harus dijadikan rujukan dan ikutan pihak berkuasa tempatan di Labuan.

Katanya, ia bagi menyekat penjualan minuman keras di kedai runcit, seterusnya dapat mengekang peningkatan kes kemalangan oleh pemandu mabuk, kerosakan akhlak, keganasan rumahtangga dan ketagihan arak dalam kalangan generasi muda.

“PAS Labuan bersedia memberikan sokongan dan kerjasama dalam memberikan cadangan yang terbaik kepada pihak berkuasa tempatan untuk tujuan pelaksanaan sekatan tersebut,” katanya.

DBKL dalam kenyataan sebelum ini, memaklumkan penjualan bir di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur kini hanya dibenarkan sehingga 9 malam.

Katanya, perkara itu sebagai syarat baharu untuk permohonan Lesen Minuman Keras (LMK) dan pelanggan masih boleh membeli bir di premis tersebut yang boleh dijual bermula jam 7 pagi.

Larangan itu diumumkan pada Nov tahun lalu dan sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Okt, namun ditangguh sementara untuk kajian oleh DBKL.

Larangan itu mendapat kecaman daripada penggubal undang-undang pembangkang dan masyarakat sivil selepas ia diumumkan tahun lalu kerana kebimbangan mengenai pencabulan hak orang bukan Islam. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top