LABUAN : PAS belum memberikan kata putus sama ada meletakkan calon bertanding kerusi Parlimen Labuan pada PRU15 ini.
Memetik laporan Borneo Today, Yang Dipertua PAS Labuan, Hamir Zahari berkata apa yang pasti PAS Labuan akan memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan bertanding.
“Sama ada meletakkan calon bertanding untuk kerusi Parlimen Labuan dalam PRU-15 ianya belum dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan pusat parti.
“Setakat ini, PAS Labuan seiring dengan arah-tuju kepimpinan pusat dalam memberi sokongan kepada calon-calon Perikatan Nasional bertanding,” katanya semalam.
Sementara itu menurut laporan tersebut parti Warisan sudah pasti akan mempertahankan kerusi Parlimen Labuan.
Untuk rekod, kerusi Parlimen itu dimenangi oleh Datuk Rozman Isli atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Bagaimanapun pada 11 Oktober 2018, Rozman keluar Umno dan menyertai Warisan. Beliau kini adalah Ketua Bahagian Warisan Labuan.