Pas Beri Jaminan Tidak Akan Laksana Dasar Tekan Sabah, Sarawak

takiyuddin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan melaksanakan langkah-langkah yang menekan mana-mana pihak khususnya di Sabah dan Sarawak sekiranya parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan baru.

Menurut beliau, parti Islam itu memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan kongsi dalam kerajaan meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.

Beliau berkata Pas sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, adat resam dan agama dan mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing berdasarkan jaminan Perlembagaan Persekutuan.

“Pas telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui oleh Pas di Kelantan lebih dari 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Justeru, tegasnya Pas menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Pas akan menggunakan kedudukan yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang menekan mana-mana pihak.

Ini katanya lebih-lebih lagi di negeri-negeri Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani penghidupan yang harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing.

“Malahan Pas amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dengan mana tidak boleh dipaksa seseorang bukan Islam untuk menganut Islam melainkan atas kerelaan dan kefahaman mereka sendiri,” jelasnya lagi.

Tegas Takiyuddin Pas telah membuktikan dirinya dalam perkara ini sejak 31 bulan lalu apabila parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top