Parti Warisan cadangkan Tun Richard Malanjun dilantik TYT

Tun-Malanjun.jpg

Tun Richard Malanjun

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekas ketua hakim negara Tun Datuk Seri Panglima Richard Malanjum telah dicadangkan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah seterusnya.

Naib presiden parti Warisan, Terrence Siambun yang membuat cadangan itu berkata, Malanjum adalah seorang tokoh Sabah yang berwibawa dengan rekod pencapaian cemerlang yang menunjukkan komitmennya terhadap keadilan dan perpaduan.

“Beliau merupakan rakyat Malaysia Timur pertama yang menjadi ketua hakim negara, dan pencapaian tertingginya setakat ini adalah sebagai Ombudsman Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Dengan kepakaran undang-undang yang tiada tandingan, komitmen terhadap keadilan, dan dedikasi kepada kesejahteraan semua rakyat Sabah, beliau adalah calon yang sangat sesuai untuk jawatan yang dihormati ini,” kata Siambun dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai ketua hakim negara, Malanjum menunjukkan penghormatan kepada kerangka Perlembagaan Malaysia, termasuk pengiktirafan Islam sebagai agama persekutuan, sambil melindungi hak semua komuniti.

“Cadangan ini sama sekali tidak menjejaskan kedudukan Islam di Sabah. Seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, status Islam sebagai agama persekutuan kekal utuh dan dihormati,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Siambun turut menambah bahawa pelantikan Malanjum sebagai Yang di-Pertua Negeri akan mencerminkan identiti Sabah sebagai sebuah negeri yang harmoni dan pelbagai budaya serta memupuk perpaduan yang lebih erat.

Tempoh perkhidmatan Yang di-Pertua Negeri Sabah kini, Tun Juhar Mahiruddin, akan tamat pada penghujung tahun ini. Beliau telah memegang jawatan itu sejak tahun 2011.

Minggu lalu, ketua menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau akan mengemukakan senarai nama calon Yang di-Pertua Negeri Sabah kepada Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top