KOTA KINABALU: Seiring dengan hasratnya untuk berkembang ke seluruh negara Parti Sedar Rakyat telah menubuhkan cawangan Sabah baru-baru ini.
Parti yang berpangkalan di Sarawak itu menerima kelulusan ke peringkat kebangsaan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 7 Ogos.
Presidennya, Datuk Othman Abdillah berkata, parti itu telah mengadakan mesyuarat pembentukan cawangan bersama ahli di Sabah pada 23 Sept lepas untuk mendaftarkan cawangan peringkat negeri ini.
Dalam mesyuarat itu, tujuh ahli telah dipilih untuk membentuk jawatankuasa protem negeri bagi Sabah diketuai Profesor Dr Ariffin Willie Muhammad sebagai pengerusi.
Selain itu, dalam jawatankuasa itu ialah Bahri Bakri sebagai timbalan pengerusi manakala Julia Ongkili dipilih sebagai setiausaha. Empat lagi ialah Bonepes Been (bendahari), Jasni Badali, Nurul Faizah Ariffin dan Nilis Joseph.
“Dengan penubuhan cawangan Sabah, Sedar berhasrat untuk mengukuhkan kehadirannya dan melibatkan diri dengan masyarakat yang pelbagai di Sabah.
“Kami akui cabaran dan peluang khusus yang diberikan Sabah, dan cawangan baharu kami akan bekerja tanpa jemu untuk menangani keperluan dan kekhuatiran rakyatnya,” kata Othman dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Sedar akan memperjuangkan matlamat utamanya untuk menzahirkan hak rakyat menerima dividen kewangan secara langsung daripada sumber asli negeri, terutamanya hasil minyak dan gas.
Ini akan dilakukan melalui pelaksanaan dua skim terasnya iaitu Dividen Asas Rakyat (dividen bulanan tetap kepada semua rakyat Sabah dewasa) dan dana Hak Ekuiti Rakyat yang merupakan dana kekayaan sosial yang akan dimiliki oleh negeri dan rakyat, katanya.
“Kami menjemput semua rakyat Sabah yang berkongsi nilai dan aspirasi kami untuk menyertai Parti Sedar Rakyat. Dengan menyertai kami, anda boleh mengambil bahagian secara aktif dalam membentuk masa depan rakyat Sabah dan negara kita,” kata Othman.
Berita asal: NST