KOTA KINABALU: Penganalisis percaya persefahaman yang dimeterai antara parti dalam Gabungan Rakyat Sabah mampu mengubah keadaan politik di negeri itu, sekali gus menandakan niat mereka untuk bangkit menghadapi tekanan dari Semenanjung.
Pensyarah UiTM Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, perjanjian itu menandakan niat parti berkenaan untuk keluar daripada politik gaya lama, iaitu tunduk pada tekanan dari seberang Laut China Selatan.
“Inilah masanya untuk membuktikan bahawa Sabah di bawah GRS mempunyai ‘autonomi’ sendiri untuk menangani politik tempatan. Saya percaya memorandum persefahaman itu adalah titik tolak kepada GRS untuk mencapai autonomi dalam politik di negeri itu. Ia berpotensi mengubah keadaan,” katanya.
“Lagipun Umno Sabah telah diberi autonomi (daripada parti pusat) dan sudah tiba waktunya untuk membuktikan ia benar-benar menikmati kuasa autonomi itu,” katanya.
Perjanjian tersebut ditandatangani semalam oleh pemimpin gabungan tersebut untuk menyuarakan hasrat parti masing-masing meneruskan kerjasama dan menolak campur tangan luar yang cuba menggugatnya.
Pengerusi PPBM Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang juga merupakan pengerusi GRS, disoal bagaimana pergolakan PPBM-Umno di Semenanjung akan memberi kesan ke atas GRS.
Beliau berkata, pemimpin GRS bersepakat untuk tidak dipengaruhi oleh perkembangan politik dari tempat lain, terutama di Semenanjung.
Beliau berkata, Sabah mempunyai politik sendiri untuk ditangani dan tidak bersedia untuk dipengaruhi oleh perkembangan di luar negeri itu.
“Biar apa pun yang berlaku di Semenanjung, kita (GRS) tetap utuh di Sabah,” katanya.
Sementara itu, timbalan dekan di Universiti Malaysia Sarawak Arnold Puyok berkata, GRS berusaha mencontohi Gabungan Parti Sarawak, yang merupakan blok kukuh terdiri daripada parti yang berpangkalan di Sarawak.
“Saya fikir mereka bergerak ke arah itu, iaitu memperkukuh GRS sebagai entiti yang sama seperti GPS,” katanya.
Puyok berkata, ini dapat menstabilkan keadaan politik di Sabah, walaupun perbezaannya GPS terdiri daripada parti tempatan berbanding GRS yang juga merangkumi cawangan tempatan parti yang berpangkalan di Semenanjung seperti Umno dan PPBM.
“Hanya dengan kekal bersama-sama, mereka boleh terus memimpin Sabah.
“Harus diingat bahawa GRS membentuk kerajaan dengan sokongan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS.
“Mereka tidak mampu kehilangan kerajaan negeri kepada Warisan sekiranya berlaku pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan.
“Warisan mempunyai lebih banyak kerusi berbanding setiap satu daripada mereka.
“Mungkin juga ini adalah cara untuk Bung (Moktar Radin) dan Umno Sabah memberitahu parti itu dan presidennya Ahmad Zahid Hamidi bahawa mereka mempunyai autonomi dan terserah kepada pemimpin Umno Sabah mengambil langkah terbaik untuk parti itu di sini,” kata Puyok.
Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah berkata, walaupun perkembangan antara Umno dan PPBM di peringkat nasional masih tidak menentu, namun ia tidak seharusnya mempengaruhi perkembangan di Sabah sekiranya tiada masalah antara parti komponen GRS itu sendiri.
Namun katanya, GRS masih dilihat sebagai kerjasama politik yang rapuh walaupun wujud MoU itu.
“Namun saya berharap semua pemimpin negeri, terutama Hajiji dan Bung, lebih fokus mengurus pentadbiran negeri, bukannya menimbulkan masalah politik.
“Kita tidak mampu berdepan konflik baharu yang boleh mencetuskan satu lagi pilihan raya negeri. Wabak Covid-19 adalah reality dan kita mesti bekerjasama untuk menanganinya.
“Cukuplah drama politik di peringkat persekutuan kekal di sana dan tidak memberi impak di Sabah,” kata Romzi. – FMT