Parti pemerintah Afrika Selatan ANC kehilangan majoriti mutlak

South-Africa-Election.jpg
Kongsi Bersama

CAPE TOWN: Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memerintah Afrika Selatan telah kehilangan majoriti mutlak buat pertama kali dalam tempoh tiga dekad, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini selepas Pilihan Raya Parlimen minggu ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Dengan 97.51 peratus undian dikira, ANC mencatatkan 40.11 peratus pada pagi Sabtu, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (IEC).

Keputusan awal ini menunjukkan kehilangan kuasa yang besar bagi parti pemerintah yang dipimpin Presiden Cyril Ramaphosa.

Buat julung kalinya dalam sejarah negara ini, parti yang pernah dipimpin oleh pejuang anti-apartheid Nelson Mandela akan terpaksa membentuk gabungan.

Selama 30 tahun lepas, sejak permulaan demokrasi pada tahun 1994, ANC sentiasa menang pilihan raya dengan majoriti mutlak dan mentadbir ekonomi terkuat di benua itu secara bersendirian.

Parti Perikatan Demokrasi (DA) memperoleh 21.71 peratus undi, menurut keputusan awal, manakala parti yang ditubuhkan hanya enam bulan lepas oleh bekas Presiden Jacob Zuma, uMkhonto we Sizwe (MK), mendapat 14.84 peratus. Parti yang dipengaruhi Marxis, Pejuang Kebebasan Ekonomi (EFF) memperoleh 9.37 peratus undi.

Pengulas politik sebahagian besarnya mengaitkan kehilangan kuasa bersejarah ANC – hampir 17 mata peratusan sejak pilihan raya parlimen 2019 – kepada penubuhan baru MK, sambil menuding jari kepada rekod pemerintahan lemah parti itu.

Negara selatan Afrika dengan 61 juta penduduk itu mengalami ekonomi yang bermasalah, kadar pengangguran yang tinggi, perusahaan milik negara yang usang, gangguan bekalan elektrik yang kerap, serta jenayah dan rasuah yang tinggi.

Ahli daripada 52 parti bersaing dalam pilihan raya 29 Mei untuk 400 kerusi parlimen. Setelah keputusan diumumkan, ahli parlimen yang baharu dipilih mesti membentuk kerajaan dan memilih presiden dalam tempoh 14 hari. Kerajaan di peringkat wilayah juga telah dipilih semula. – Bernama-dpa

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top