KENINGAU: Parti Kerjasama Anak Negeri (AN) memohon menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai mengalu-alukan visi Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menyeru perpaduan parti tempatan mengutamakan kepentingan rakyat dan pembangunan Sabah.
Presidennya, Datuk Henrynus Amin, berkata usaha untuk menyatukan parti tempatan Sabah adalah selaras dengan perjuangan hak negeri di Malaysia yang diterajui oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan sejak beberapa dekad lalu.
“Kami bersetuju dengan Dr Jeffrey yang melihat isu utama di Sabah ialah perpecahan di kalangan pemimpin di mana rakyat amat memerlukan perpaduan bagi mengatasi kelemahan keupayaan kewangan yang mengakibatkan kebergantungan kepada pihak lain,” katanya.
Henrynus berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Dr Jeffrey selaku timbalan pengerusi GRS di kediamannya di sini pada Rabu untuk mengemukakan surat permohonan AN menyertai GRS.
Henrynus yang juga bekas Ahli Parlimen Ranau, diiringi timbalan presiden Terence Tsen dan Milkusin Abdullah, naib presiden Wong Kong Fooh, ketua penerangan Alex Wong, ketua wanita Datin Esther Lee dan empat ahli Majlis Tertinggi.
Dalam pertemuan mesra itu, Henrynus mengakui peranan dan usaha Dr Jeffrey sebagai perintis dan pengasas perjuangan hak Sabah secara konsisten dari awal hingga kini.
Tambahnya, sebelum ini ada tawaran daripada gabungan lain tetapi AN memilih untuk menyertai GRS kerana mereka percaya gabungan itu berada di landasan terbaik untuk rakyat Sabah bersatu di bawah satu bumbung.
Henrynus menjelaskan, walaupun AN sebuah parti kecil, ia akan menyokong dan menyumbang suaranya kepada usaha kerajaan Sabah pimpinan GRS untuk menyatupadukan rakyat dan memperkasa sumber kewangan demi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, AN menyediakan perkhidmatan kepada rakyat berdasarkan program kesedaran ekonomi, kemahiran keusahawanan dan pembangunan sosio-ekonomi rakyat melalui gerakan koperasi.
“Perkhidmatan kami adalah selaras dengan orientasi Sabah Maju Jaya yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan Sabah,” katanya.
Dr Jeffrey menyambut baik hasrat delegasi AN dengan mengulangi kenyataannya pada 28 Ogos lalu mengenai konsep GRS yang bertujuan membawa semua pemimpin dan parti politik yang mempunyai visi dan matlamat perjuangan yang sama untuk berjuang di bawah satu payung.
Sumber: The Borneo Post