KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.
Presidennya, Datuk Peter Anthony mengesahkan bahawa tiada sebarang kerjasama atau perbincangan diadakan dengan mana-mana parti politik lain.
“KDM akan bertanding berdasarkan kekuatan kami sendiri,” katanya sebagaimana dipetik oleh The Star.
Beliau dilaporkan berkata demikian semasa pelancaran jentera pilihan raya parti bagi kawasan Sindumin dan Lumadan pada Sabtu.
Anthonya yang ditemani oleh timbalannya, Datuk Wetrom Bahanda, yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau memberi bayangan tentang rancangan untuk meletakkan calon di 45 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Parti yang akan menyambut ulang tahun ketiganya itu juga telah merangka sembilan manifesto utama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17, yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya September tahun ini, dengan tumpuan kepada usaha mempertahankan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kami juga mahu menggalakkan tadbir urus tempatan yang serupa dengan model pentadbiran Sarawak,” tambah Anthony.