Parti KDM Ibarat Pedang Bermata Dua Kepada GRS – Penganalisis

GRS.jpeg

Hajiji menerima surat permohonan KDM menyertai GRS daripada Presidennya Peter Anthony

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meletak pertaruhan jika ia menerima parti baharu Datuk Peter Anthony, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebagai anggotanya, menurut seorang penganalisis.

Pensyarah kanan UiTM Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, KDM boleh menjadi seperti pedang bermata dua kepada gabungan pemerintah itu – ia boleh mengukuhkannya tetapi juga menyebabkan perpecahan.

Beliau berkata, walaupun kemasukan KDM akan meraih undi Kadazan Dusun Murut bagi GRS, keadaan boleh menjadi kucar-kacir pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Wujud risiko tinggi undi pecah dan sabotaj jika KDM, PBS dan STAR tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai peruntukan kerusi,” katanya kepada FMT.

Katanya lagi, kes rasuah Anthony yang sedang berjalan juga boleh menjadi liabiliti untuk GRS kerana pesaingnya boleh menggunakan isu itu sebagai “peluru politik”.

Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR adalah sebahagian daripada GRS. Seperti KDM, mereka parti berbilang kaum tetapi mendapat sokongan padu di kawasan Kadazan Dusun Murut.

KDM kelihatan bersedia untuk menyertai GRS selepas Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Haji Noor melancarkan parti itu Ahad lepas. Pada majlis itu, Anthony turut menyerahkan permohonan rasmi KDM untuk menyertai gabungan kerajaan negeri.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, GRS tidak mampu untuk tidak mengendahkan permohonan KDM kerana “risiko untuk tidak menerima mereka sebagai ahli melebihi faedah menerimanya”.

“KDM bertanding sendirian di banyak kerusi pasti akan memecahkan undi bagi PBS dan STAR,” katanya kepada FMT.

Oh tidak menjangkakan Warisan akan dapat menembusi kawasan majoriti Kadazan Dusun Murut.

“Oleh itu, sokongan daripada komuniti ini masih berkemungkinan kekal dengan GRS, dan selagi mereka membahagikan kerusi dengan sewajarnya tanpa pertindihan, sepatutnya mereka masih boleh menang kerusi masing-masing,” katanya.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah, Romzi Ationg berkata, PBS dan STAR akan melihat KDM sebagai ancaman langsung kepada harapan mereka untuk mendapatkan lebih banyak kerusi.

Romzi berkata, peruntukan kerusi sudah menjadi isu antara PBS dan STAR pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020. Langkah membabitkan KDM akan merumitkan lagi keadaan. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top