SANDAKAN: Rumah Jagaan Anak-Anak Yatim Rumah Al-Yakin di sini menerima sumbangan daripada Pejabat Parti Impian Sabah bahagian Elopura.
Pengerusi Parti Impian Sabah bahagian Elopura, Jeffery Chung berkata, lawatan ke rumah kebajikan itu diadakan menerusi Program Menyantuni Kawasan Rakyat (MEKAR).
“Lawatan ini diadakan pada 7 Disember lalu melibatkan seluruh ahli jawatankuasa bahagian.
“Lawatan ini sangat bermakna dan memberi kesan yang mendalam, sekali gus mengeratkan hubungan dengan anak-anak yatim dan mendidik mereka nilai-nilai murni melalui pelbagai aktiviti yang akan dirancang kelak,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan diberikan adalah berbentuk bahan makanan dan peralatan kegunaan harian di pusat jagaan berkenaan yang terdiri daripada 12 penghuni dan tiga penjaga.
Katanya, dengan inisiatif berterusan seumpamanya, diharapkan kebajikan dan kesejahteraan golongan memerlukan terutama anak yatim dapat diberikan perhatian yang seimbang, memberi manfaat besar kepada masyarakat serta negara. – Utusan Borneo