TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) bersedia membantu calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam kempen menawan kerusi Parlimen Tawau pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah berkata prinsip Harapan Rakyat kekal bersedia untuk bertanding pada PRU15 jika diberi peluang oleh kepimpinan GRS tetapi ia tidak akan merebut kerusi itu sebaliknya akan membantu calon gabungan itu jika tidak dipilih.
“Jika tidak diberi peluang (bertanding) kami tetap membantu kerana kami (parti) mahu melihat perubahan segera di Tawau. Pembangunan lambat berbanding sebelum ini, tukar kerajaan lebih banyak masalah, jadi kita nak (kerajaan) kuat, barulah Tawau ada pembangunan yang lebih mampan.
“Bagi saya, GRS mempunyai konsensus dan perpaduan yang kukuh. Walaupun kita (Harapan Rakyat) tidak ada kerusi, kita sentiasa boleh bangkitkan masalah kepada pucuk pimpinan (GRS) dan sentiasa dipandang serius, jadi saya rasa (bertanding) bukan soal kepentingan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Program Ibu Bapa dan Guru ‘Kita Bersama Permyafakatan’ di sini pada Sabtu.
Pada pilihan raya umum ke-14, kerusi Parlimen Tawau dimenangi oleh Datuk Christina Liew atas tiket PKR dengan majoriti 4,727 undi dalam pertembungan empat penjuru.
GRS dianggotai oleh Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk mentadbir Sabah.
Selain Harapan Rakyat, parti mesra GRS terdiri daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS). – Bernama