Parti baharu Sabah sasar untuk kekang ‘ahli politik kitar semula’

parti-impian-sabah.jpg

KOTA KINABALU: Parti Impian Sabah (PIS), sebuah parti politik tempatan yang baharu menyasarkan untuk mempunyai 12 naib presiden mewakili kepelbagaian etnik di negeri ini.

Presiden pro tem parti itu Michel Alok berkata naib-naib presiden itu akan mewakili kumpulan etnik dan komuniti yang lebih besar di negeri ini termasuk Kadazandusun, Murut, Rungus, Bajau dan Suluk.

Ia juga akan mengehadkan tempoh jawatan ahli jawatankuasanya, termasuk presiden, kepada dua penggal, “dengan itu tidak menggalakkan ahli politik kitar semula,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bekas anggota Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata PIS juga akan berusaha ke arah mengembalikan hak negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memerangi rasuah dan berusaha membasmi kemiskinan.

“PIS berpendirian tegas dalam memperjuangkan kepimpinan transformatif dan tadbir urus demokratik, dengan penekanan khusus di Sabah, Malaysia,” katanya.

Parti itu juga, menurut beliau, akan memupuk pengkaderan pemimpin yang bersih untuk merevolusikan landskap politik Sabah.

“Matlamat kami adalah untuk menghapuskan monopoli, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan autoritarianisme,” ujarnya.

Michel berkata had dua penggal itu akan membantu mewujudkan kohort kepimpinan yang sentiasa berkembang, dan membantu menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa.

Parti itu juga akan menekankan keterangkuman dan tadbir urus demokrasi melalui langkah-langkah membuat keputusan yang seimbang, tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top