KOTA KINABALU: Sebuah parti politik baharu di Sabah memperkenalkan konsep baharu dalam memilih calonnya bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) iaitu mengadakan ‘tender terbuka’.
Presiden Parti Tempatan Rakyat Sabah (PTRS), Jismit Japong berkata langkah mengadakan tender terbuka itu dibuat bagi mengelakkan amalan pilih kasih serta mengamalkan ketelusan sepenuhnya,
“Saya percaya PTRS adalah yang pertama mengamalkan konsep tender terbuka yang terbuka untuk semua, bagi memilih calon yang kredibel dan berkelayakan,” katanya sebagaimana dilaporkan Daily Express.
Menurut Jismit, tender terbuka yang dimaksudkannya samalah seperti tender terbuka dalam bidaan projek oleh syarikat-syarikat, di mana pemilihan calon akan berdasarkan merit dan pembentangan termasuk melihat visi, misi dan cadangan mereka untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka ingin wakili.
“PTRS juga adalah parti pertama di negara ini yang memberi peluang kepada orang ramai untuk memohon menjadi calon.
“Saya yakin kita akan menerima sambutan yang menggalakkan apabila masanya tiba,” kata Jismit.
Beliau dilaporkan berkata demikian semasa sesi pertemuan dengan ahli parti.
Katanya, parti akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk proses pemilihan yang terdiri daripada ahli Majlis Tertinggi bagi menilai permohonan yang diterima.
“Saya boleh memberi jaminan bahawa penilaian terhadap semua permohonan yang diterima akan dijalankan secara adil. Yang paling penting, kita mahu calon yang lantang dan bersemangat dalam memperjuangkan hak-hak Sabah,” tambah beliau.
Menurut Jismit partinya menyasarkan bertanding di 55 kerusi DUN di PRN nanti dengan menampilkan muka baharu dan lama.
“Kami merancang untuk bertanding di 55 kerusi secara solo dan tidak akan bekerjasama dengan parti lain.
“Walau bagaimanapun, kami mungkin mempertimbangkan kerjasama dengan parti lain pada masa hadapan bergantung kepada keputusan pilihan raya,” katanya.
Tambah beliau, partinya juga memberi tumpuan kepada menjaga hak-hak Negeri dan rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan serta memperjuangkan pembangunan ekonomi, pemberdayaan belia dan kebajikan sosial.