Parlimen Lahad Datu Akan Kembali Jadi Milik Warisan – Shafie

shafie-1.jpg
Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Parti Warisan (Warisan) yakin mampu mengambil semula kerusi Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Pada masa ini, kerusi Parlimen itu beralih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Datuk Mohammadin Ketapi meninggalkan Warisan bagi menyertai Bersatu.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, ia bukan sesuatu yang mudah tapi, beliau yakin dengan kerangka yang ada serta usaha memperkuatkan jentera Warisan, kerusi Parlimen itu boleh diambil semula.

Katanya, Warisan sedang meneliti secara mendalam calon yang akan diletakkan di kerusi Parlimen ini bagi memastikan dia seorang yang bukan sahaja boleh menang tetapi juga mempunyai nilai kesetiaan.

“Kita tidak mahu dia boleh menang tapi dia melompat. Kita mahu dia menang, tidak melompat dan kena berkhidmat kepada rakyat.

“Kita mahukan wakil rakyat yang banyak membantu rakyat, jangan banyakkan kita punya pangkat dan projek, itu yang saya tekankan,” katanya selepas Majlis Iftar bersama masyarakat Lahad Datu di Masjid Ar-Raudhah kelmarin.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti harus dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan ia tidak mudah disalah guna pada masa akan datang.

“RUU seumpama ini harus dikekalkan dalam Perlembagaan dan bukan dijadikan undang-undang Persekutuan. Pindaan Perlembagaan bagi RUU Anti Lompat ini adalah untuk mengawal orang yang lompat dan bukan untuk kawal parti melompat.

“Kita boleh mengawal parti tapi jangan sampai ia dimasukkan dalam undang-undang persekutuan,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, RUU berkenaan berbeza dengan RUU lain dan ia harus kekal dalam Perlembagaan kerana mahkamah tidak boleh campur tangan dalam Perlembagaan. Sekiranya RUU itu menjadi undang-undang persekutuan, yang berkuasa adalah mahkamah.

Jelas beliau, sekiranya RUU Anti Lompat Parti termasuk dalam Perlembagaan Malaysia maka, tiada lagi persoalan keputusan mahkamah salah. Perkara ini diharap dapat diberi perhatian dalam menjayakan pelaksanaan RUU Anti Lompat Parti.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top