‘Parlimen Kemuncak Suara Demokrasi, Bukan Tempat Zombi’ – MP Pasir Gudang

hassan-karim-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim beliau tetap akan mengundi menyokong usul percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Menurut Malaysiakini perkara itu dimaklumkan oleh Hassan kepada portal berita tersebut menerusi mesej Whatsapp.

“Saya sahkan akan undi sokong Anwar sebagai perdana menteri bukan kerana ultimatum MoU tetapi atas conscience (hati nurani) saya,” katanya.

Namun di sebalik sokongan itu, Hassan membantah MoU (memorandum persefahaman) yang ditandatangani oleh Anwar, yang mengetuai PH dengan pemimpin-pemimpin BN, GPS, GRS dan Warisan pada Jumaat lalu.

MoU itu turut memasukkan klausa kontroversi mewajibkan ahli parlimen parti-parti berkenaan menyokong perdana menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan pimpinan Anwar.

Dalam menzahirkan bantahannya mengenai perkara itu Hassan sekali lagi menggunakan puisi bagi melontarkan pandangannya. Kali ini puisi itu diberi judul ‘Satu Deklrasi’

Menerusi puisi tersebut Hassan mencoretkan, “parlimen itu kemuncak suara demokrasi” dan “parlimen bukan tempat makhluk zombi” yang bergerak mengikut arahan ketua.

Hassan, seorang peguam, turut mengingatkan sahabatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa walaupun memperoleh ratusan undi percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri, tetapi ahli Parlimen (MP) kini hilang hak kebebasannya.

Pada empat baris terakhir puisi itu Hassan menegaskan dia rela ‘dipancung’, tetapi tidak rela demokrasi berkubur di Parlimen.

Berikut adalah kandungan penuh puisi tersebut:

SATU DEKLARASI

Ini bukan puisi
Ini satu deklarasi
Izinkan aku bertanya
Parlimen itu apa?

Aku diberitahu
Oleh Magna Carta dan Bills of Rights
Parlimen itu kemuncak suara demokrasi

Oh, begitu rupanya,
Jadi Parlimen bukanlah tempat makhluk zombi
Yang bergerak satu hala saja
Mengikut arah si sang ketua

Biarlah aku bicara
Sebagai seorang MP di sini
Aku bukan robot, bukan zombi
Aku masih ada maruah
bukan bangkai bernyawa

Lusa 19 Disember
tarikh keramat di Palimen kami
aku isytiharkan di sini,
aku akan mengundi bebas ikut hatiku
akan aku berikan undi kepercayaan
kepada Perdana Menteri sahabatku

Namun begitu,
Sila dengar bicaraku
Adakah kita punya legitimasi,……….wahai sahabat
Beroleh sekian-sekian ratus undi selamat melebihi majoriti
Tetapi para MP hilang hak kebebasannya untuk mengundi?

Ke mana perginya kepercayaan kita
Kepada pertimbangan bijaksana?

Mengapa MoU yang ditandatangani semalam menjadi senjata tajam
Undi MP itu mesti mandatori
Tiada lagi budi bicara menjadi neraca imbangan?

Ke mana hilangnya keyakinan kita kepada hati nurani manusia
Sehingga tergamak kita memberi kata dua:
Patuh mengundi atau kamu hilang kerusi

Kepada sahabatku
Benarkan aku bertanya
Ini autokrasi atau demokrasi?

Kini kita kembali kepada sejarah Tuah dan Jebat
Lalu rayuan terakhirku,
Kembalikan hak kami para MP
Bebas mengundi
Menurut akal dan budi

Maka
Kepada mu abang Tuah
Aku lafazkan satu deklarasi di sini:

Biarlah aku dipancung mati
Aku tidak rela
Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi.

Hassan Abdul Karim
Pasir Gudang
Sabtu 17 Disember 2022

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top