Papar kekurangan bekalan air terawat 15 juta liter sehari akibat LRA terjejas

Armizan.png
Kongsi Bersama

PAPAR: Daerah Papar berdepan dengan kekurangan 15 juta liter sehari bekalan air terawat berikutan keupayaan dua Loji Rawatan Air (LRA) di daerah itu terjejas, kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau berkapasiti 10 juta liter sehari tidak dapat beroperasi sepenuhnya manakala LRA Jetama juganberkapasiti 10 juta liter sehari hanya dapat beroperasi pada separuh kapasiti itu.

Beliau berkata perkara itu terjadi disebabkan tahap kemasinan air mentah amat tinggi iaitu lebih 5,000nmiligram/liter berbanding bacaan standard 120 miligram/liter akibat kesan kemarau dan El-Nino.

“Sudah hampir sebulan tiap hari beberapa kali semak ramalan cuaca, tetapi hujan tidak juga turun. Hujan penting untuk membolehkan kadar kemasinan air mentah di water intake (muka sauk) di dua LRA itu turun di bawah paras yang dibenarkan untuk rawatan air.

“Sekarang ini bekalan air terawat kita (di Papar) hanya ada 40 juta liter sehari iaitu 35 juta liter daripada LRA Kogopon, dan 5 juta liter lagi LRA Jetama yang beroperasi pada separuh kapasiti,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya pada Khamis.

Pada Selasa lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah dan Jetama Sdn Bhd membina muka sauk kedua bagi menyokong LRA EWSS Limbahau seterusnya membolehkan loji itu beroperasi dengan baik.

Armizan berkata pembaikan kerosakan paip utama yang menyalurkan bekalan air mentah ke LRA Kogopon telah siap lewat malam semalam dan LRA itu telah mula beroperasi, setelah dua hari terpaksa ditutup akibat kerja-kerja pembaikan itu.

Beliau berkata penyaluran air semula daripada LRA Kogopon memerlukan masa untuk sampai terutama di kawasan hujung paip bekalan, justeru beliau telah meminta pihaknya terutama di Dewan Undangan Negeri Kawang, Limbahau dan Pantai Manis menyemak lokasi yang belum menerima bekalan.

Menurut Armizan kerja-kerja menaik taraf LRA Kogopon telah mula dilakukan pada Ogos tahun lepas dan dijangka siap pada Ogos 2026, dengan naik taraf itu membolehkan kapasiti itu ditingkatkan kepada 80 juta liter sehari.

“Projek itu akan membolehkan kita punyai rizab margin yang lebih di Papar, biar kemarau rizab yang ada masih boleh menampung keperluan,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top