Papar Capai 40 Peratus Vaksinasi

vaksin-covid-19.jpg
Kongsi Bersama

PAPAR:  Setakat ini, daerah Papar mencapai 40 peratus vaksinasi daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Menurut Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee, bagi mencapai imuniti kelompok di daerah yang didiami 167,300 penduduk itu, pihaknya komited untuk melaksanakan program-program jangkauan di bawah rangka Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah.

“Selain program outreach CITF mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun), kita juga menyasarkan kawasan pedalaman.

“Dalam masa terdekat, kita akan mengadakan program outreach di Kg Bisuong, Kaiduan yang mempunyai kira-kira 500 penduduk bersama-sama KKM dan Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah.

“Oleh kerana penduduk di kawasan ini menghadapi kesukaran untuk keluar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), kami merancang untuk menyampaikan sumbangan amal barang-barang keperluan seperti beras dan sebagainya oleh persatuan-persatuan tertentu,” jelasnya.

Beliau yang diiringi Penolong Pegawai Daearah (Pengurusan), Jainuddin Jumat dan UPPM Dun Kawang, Rosli Ibrahim ditemui media ketika memantau Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Daerah Papar bagi Dun Kawang di SMK Pengalat dekat sini, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai program terbabit, Hadzlan menzahirkan keyakinan sasaran 80 peratus vaksinasi boleh tercapai menerusi program yang berlangsung selama dua hari itu.

“Program hari ini melibatkan seramai kira-kira 1,800 orang penduduk dari Kg Pengalat Kecil dan Kg Bundusan.

“Untuk hari ini sahaja, kita yakin akan mencapai sasaran vaksinasi kepada 1,000 orang sehari kerana 300 penduduk sudahpun menerima vaksin di ibu negeri dan di luar daerah yang lain.

“Malah, setakat jam 11 pagi ini, hampir 600 orang telah menerima vaksin dan kita meletakkan angka sama untuk sasaran hari kedua iaitu esok (hari ini),” katanya.

Tambah beliau, bagi memastikan program tersebut mencapai sasaran secara total, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Papar kini memperhebat hebahan untuk mengajak masyarakat supaya hadir dan mendapatkan vaksinasi di lokasi-lokasi yang ditetapkan.

Selepas Dun Pengalat, Hadzlan memberitahu program jangkauan CITF itu akan diadakan di Dun Pantai Manis pada tarikh yang akan diumumkan kemudian. – DE/Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top