Pan Borneo: Orang Ramai Mohon R&R Di Bandar Checkpoint Batu 32 Sandakan

bandar-checkpoint.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) lebih tersusun dan strategik perlu dibina di Bandar Checkpoint Batu 32, dekat sini, yang merupakan antara kawasan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Zon Timur, untuk kegunaan orang ramai yang membuat persinggahan di kawasan itu.

Bandar Checkpoint Batu 32, adalah persimpangan dan jalan utama menghubungkan antara Sandakan-Beluran-Telupid-Kota Kinabalu dan Sandakan-Kinabatangan-Lahad Datu-Tawau; selain terkenal sebagai tempat persinggahan pengguna jalan raya sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Seorang pesara Noor Shiqah Majinun, 51, dari Sandakan berkata sudah tiba masa kemudahan R&R di Bandar Checkpoint dibina.

Selain dilengkapi dengan kedai-kedai makan, Noor Shiqah berkata, R&R itu perlu dilengkapi kemudahan asas seperti tandas awam dan surau untuk kegunaan orang ramai yang singgah di kawasan tersebut.

“Tidak dinafikan sekarang Checkpoint Batu 32 memang ada perubahan lebih-lebih lagi dengan pembinaan lebuh raya Pan Borneo di sini dan sekiranya ada kawasan R&R lagi lebih bagus.

“Setakat ini, apa yang kita lihat hanya ada restoran dan tandas awam. Tetapi, sekiranya boleh, kita mahu R&R lebih selesa di kawasan strategik dengan dilengkapi kemudahan lain seperti surau, selain tempat makan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Pandangan sama turut disuarakan Syarbiah Saripudin, 33 dari Kota Kinabalu, yang berpendapat kawasan R&R perlu disediakan di Bandar Checkpoint Batu 32 bagi membolehkan pengguna jalan raya beristirehat sebelum menyambung semula perjalanan.

“Jika mengantuk, orang ramai yang membuat perjalanan jauh boleh singgah di kawasan R&R untuk merehatkan diri. Kita di Sabah tiada kemudahan R&R ini. Menurut saya ia perlu dibina di sini untuk kemudahan pengguna jalan raya,” katanya.

Bagi Ismail Usin, 53, dari Sandakan, Bandar Checkpoint Batu 32 sangat terkenal sebagai tempat persinggahan, justeru, kawasan itu perlu dimajukan termasuk dengan membina kemudahan R&R yang sememangnya menjadi keperluan masyarakat, selain dilihat berupaya membantu memperkasa sosioekonomi penduduk setempat.

Mengulas usaha kerajaan membangunkan Lebuhraya Pan Borneo melibatkan laluan Telupid-Sandakan-Kinabatangan, Ismail berkata ia akan dapat menyediakan kemudahan jalan raya lebih efisien dan selamat untuk pengguna, sekali gus berharap pembinaanya dipercepatkan.

Bandar Checkpoint Batu 32 turut termasuk dalam empat pakej baharu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur yang dijangka siap pada 2024, dan dijadual dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Pelaksanaan projek ini juga akan menyelesaikan rungutan penduduk berhubung isu kerosakan di jalan utama dari Batu 32 Sandakan menghala ke Telupid dan dari Batu 32 Sandakan menghala ke Kinabatangan. – BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top