PAM LRA Kerap Rosak Punca Gangguan Bekalan Air – Bung Moktar

Bung-DUN.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Banyak loji rawatan air (LRA) di Sabah berdepan masalah kerosakan pam disebabkan tersedut sampah dan pasir yang dibawa arus sungai, sekali gus menjadi antara punca kekerapan gangguan bekalan air di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kerja baik pulih pam yang rosak mengambil masa kerana perlu menunggu pam baharu atau alat ganti dari luar negara.

“Di seluruh Sabah, pam air selalu rosak sebab ia sensitif kerana tersedut pasir, sampah dan bermacam lagi. Kalau rosak, ia bukan seperti mesin lain boleh dibawa ke bengkel untuk dibaiki.

“Kita kena tempah dari luar negara, kena ‘hand made’, jadi ia mengambil masa yang lama sebelum pam di sesuatu LRA dapat dipulihkan,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Rabu.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya negeri itu menjawab soalan tambahan daripada Calvin Chong Ket Kiun (DAP-Elopura) berkenaan gangguan bekalan air di Sandakan.

Tambahnya, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah diarah untuk menyediakan pam pengganti di semua LRA bagi kegunaan kecemasan, jika berlaku kerosakan terhadap pam air sedia ada.

“Kita mesti ada pam ‘standby’ (pengganti) untuk dioperasikan sementara menunggu pam yang rosak selesai dibaiki supaya gangguan bekalan air dapat dikurangkan,” katanya lagi.

Jelasnya, isu gangguan bekalan air bukan saja berlaku di Sandakan, malah di seluruh negeri, kebanyakannya disebabkan masalah pam rosak.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top