KOTA KINABALU: Persatuan Pelancongan Sabah (STA) kecewa dengan pakej bantuan perlindungan ekonomi dan rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan semalam kerana tidak mampu membantu pemain industri pelancongan di negeri berkenaan.
Presidennya, Tonny Chew menyifatkan kekecewaan itu sama seperti ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Belanjawan 2021 dan berharap Putrajaya mengkaji semula pakej bantuan itu kerana industri pelancongan Sabah semakin parah.
“Kami sekali lagi kecewa dengan pengumuman berkaitan bantuan itu kerana pemain industri pelancongan masih tidak diberi sebarang bantuan keutamaan.
“Bantuan PERMAI ini hanya memberi diskaun khas bil elektrik sebanyak 10% dan impak bantuan ini tidak besar kerana kebanyakan syarikat kini mengamalkan WFH (bekerja dari rumah) atau menutup sementara perniagaan,” katanya kepada FMT.
Dalam pengumuman Muhyiddin semalam, kerajaan bersetuju memberikan diskaun khas bil elektrik 10% dari Januari hingga Mac ini kepada enam sektor perniagaan di seluruh negara.
Ia meliputi pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
Chew berkata, pemain industri pelancongan bukan hanya terbeban dengan bil elektrik, tetapi perniagaan mereka sangat terjejas sejak penularan Covid-19 awal tahun lalu.
“Pemain (industri pelancongan) telah bersabar dan bertahan hampir satu tahun, tiada jualan selain aliran tunai juga semakin kurang dan oleh sebab itu, banyak syarikat sudah sampai ke tahap gulung tikar kerana tidak mampu lagi menanggung perbelanjaan bulanan syarikat.
“Sehubungan itu, kami memohon jasa baik perdana menteri untuk mempertimbangkan lagi bentuk bantuan kepada industri pelancongan agar syarikat pemain industri ini tidak lumpuh.
“Jika sesuatu tidak dibuat, ia juga menjejaskan pekerja syarikat yang terpaksa diberhentikan berikutan keadaan industri pelancongan yang semakin mencabar serta tidak menentu.” – FMT