PETALING JAYA: Seorang pakar kesihatan mempersoalkan langkah memperketatkan sekatan sedia ada ke atas aktiviti sosial dan rekreasi, dengan berkata, ia boleh menjadi kontra produktif.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kemungkinan berlaku peningkatan kawalan anti-Covid-19, dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman (gambar) memberitahu FMT, bahawa beliau percaya adalah lebih baik untuk memberi penekanan lebih banyak dalam memastikan rakyat mematuhi SOP walaupun ketika berada di rumah.
Katanya, mengubah tingkah laku orang ramai adalah sukar dalam pengurusan pandemik, tetapi beliau memuji Kementerian Kesihatan (KKM) atas usaha kerasnya dalam menyampaikan mesej perlu kepada rakyat Malaysia.
Mesej itu “hanya perlu disebut berulang-ulang kali”, tambahnya.
Menerusi catatan di media sosial, Muhyiddin baru-baru ini berkata, beliau mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melihat keperluan mengetatkan SOP bagi aktiviti sosial dan sukan ke tahap sama seperti PKP fasa pertama pada Mac lalu.
Namun, kajian dijalankan Kementerian Kesihatan Itali mendapati 80.3% jangkitan berlaku di rumah pesakit dan hanya 4.2% dari aktiviti rekreasi dan sekolah.
Adeeba berkata mengehadkan sukan luar di mana risiko penularannya agak rendah akan menjadi “kontra produktif” kerana ia boleh meningkatkan kebimbangan orang ramai dan menyebabkan mereka memberontak terhadap sekatan.
“Sekiranya kita terlalu menyekat orang, akhirnya mereka cuma akan kata, ‘Sudahlah. Saya muak dengan semua ini’.
“Tidak bermakna kita perlu longgarkan semua sekatan. Rakyat cuma perlu tahu aktiviti mana yang berisiko lebih tinggi atau mana yang lebih rendah.”
Ketua pegawai eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, kadar pematuhan yang rendah disebabkan orang ramai kurang celik mengenai isu kesihatan, dan menambah bahawa ini bermakna keberkesanan SOP belum dimaksimumkan.
“Tidak kiralah sekatan apa pun yang dikenakan atau ancaman penalti yang ditetapkan kerajaan, orang ramai lebih cenderung untuk tidak mematuhi SOP yang digariskan apabila mereka berada bersama ahli keluarga, rakan, malah rakan sekerja,” katanya kepada FMT.
“Tidak ada gunanya mengenakan sekatan tambahan kerana hasil pelaksanaan bergantung pada individu, keluarga dan masyarakat dalam memahami sekatan dan berikan kerjasama.
“Pematuhan SOP tidak boleh bergantung pada pihak berkuasa kesihatan atau penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Azrul berkata, kerajaan mesti terus melabur dalam komunikasi berkesan kerana terdapat keperluan untuk memastikan rakyat Malaysia bukan sahaja memahami SOP dan kepentingannya tetapi juga menyokong dan menghormatinya.
Sementara itu, Datuk Dr Subramaniam Muniandy, presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, persatuan beliau menyaksikan “pengabaian SOP” dalam kalangan orang awam, terutamanya dalam pemakaian pelitup muka yang tidak betul.
Katanya, penempatan pegawai penguat kuasa berpakaian biasa boleh meningkatkan kepatuhan dalam kalangan pengusaha perniagaan dan orang awam. – FMT