menyerahkan jawatan untuk dipangku oleh timbalannya Datuk Seri Dr Joachim disifatkan sebagai langkah yang tepat.
Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, peralihan kepimpinan dalam sesebuah parti politik adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Apabila bercakap mengenai kepimpinan, mesti ada masa peralihan, contohnya, daripada saya kepada Dr Max (Datuk Seri Dr Maximus Ongkili), dan daripada Dr Max kepada sesiapa sahaja yang dipilih menggantikannya,” kata beliau dalam sidang media di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, Isnin lalu.
“Sebagai bekas presiden PBS, saya percaya peralihan adalah baik dan wajar dan akan memberi impak kepada parti untuk terus maju,” tambah beliau.
Pairin, 84, berkata Ongkili tidak sihat dan sukar bercakap kerana sakit.
Pairin, yang merupakan presiden pengasas PBS, berkata keputusan Ongkili untuk bercuti memberi peluang kepada pemimpin parti itu menumpukan perhatian kepada perbincangan mengenai pakatan pilihan raya dengan STAR Sabah yang diketuai Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Beliau berkata adalah penting bagi kedua-dua pihak, PBS dan STAR Sabah, untuk bergerak ke hadapan dalam bekerjasama menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Kedua-dua parti itu yang berada dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini sedang berusaha untuk menentukan kaedah bekerjasama dalam pertandingan untuk kerusi-kerusi Bumiputera Bukan Islam dengan majoriti masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus.
“Saya berharap perbincangan antara PBS dan STAR Sabah akan membuahkan hasil yang positif,” kata Pairin sambil menambah beliau percaya kedua-dua pihak sedang merancang untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU).
Pada Sabtu (6 April), Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majungki mengumumkan bahawa Ongkili akan bercuti sebagai presiden dan akan menyerahkan tugas kepada Dr Joachim, yang merupakan Timbalan Ketua Menteri II.
Ketua penerangan parti Datuk Joniston Bangkuai akan memangku jawatan timbalan presiden (untuk kuota Bumiputera Bukan Islam) yang dipegang oleh Joachim.
Pemilihan parti PBS dijadualkan semasa kongres parti tahun depan.
Pairin, yang merupakan presiden pengasas PBS yang mengetuai parti itu untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang diterajui Parti Berjaya pada 1985, telah berundur pada 2018 dan Ongkili yang merupakan timbalannya pada masa itu mengambil alih teraju parti.